KULAI: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Itulah perumpamaan yang sesuai bgi seorang penganggur yang diberkas atas perbuatannya memecah masuk sebuah tadika di Jalan Kenari, Bandar Putra, di sini Ogos tahun lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Yusof Othman berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 31 tahun ditahan di hadapan kedai runcit di jalan utama Felda Bukit Ramun pada pukul 7.30 malam semalam.
Beliau berkata, kejadian yang berlaku pada 16 Ogos tahun lalu dikesan oleh seorang guru tadika setelah mendapati kesan umpilan pada pintu masuk premis berkenaan dan pemeriksaan mendapati sebuah komputer riba dan projektor didapati hilang dipercayai dilarikan suspek.
“Mangsa membuat pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali menceroboh masuk. Mangsa telah membuat laporan polis pada hari sama melaporkan kerugian berjumlah RM2,000.
“Bertindak atas maklumat, pegawai dan anggota dari Balai Polis Kulai telah menangkap suspek di hadapan kedai runcit di jalan utama Felda Bukit Ramun, semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihak polis merampas dua komputer riba dan enam telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai hasil curi dan samun dan suspek turut mengaku memecah masuk tadika di kawasan Bandar Putra pada Ogos tahun lalu.
“Siasatan akan dilakukan ke atas suspek dalam penglibatan dalam kes jenayah lain di Kulai. Pengecaman barang kes yang dirampas akan dilakukan mangsa,” katanya.
Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah selain mempunyai rekod dikehendaki berkaitan kes 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 18 Jun ini,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN