PETALING JAYA: Pemuda UMNO tidak sesekali menarik desakan agar DAP memohon maaf kepada parti UMNO dan keputusan ini adalah muktamad.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan, pihaknya tidak kisah dilabelkan sebagai langau dan biadap, tetapi Pemuda UMNO tidak sesekali berbuat demikian.
“Penting kita bawa suara rakyat, kita tak gentar apa berlaku di depan. Kami tak cakap benda betul kalau kami tak sayang parti, kalau tidak sayang, kami tidak duduk dalam dewan ini.
“Kami bawa suara akar umbi bawahan UMNO,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 di sini hari ini.
Dalam ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal mendesak DAP memohon maaf terhadap segala tohmahan yang dilemparkan mereka kepada UMNO selama ini.
Beliau berkata, jika DAP sebelum ini boleh memohon maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), mereka seharusnya berbuat demikian kepada UMNO.
Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal berkata, beliau menerima banyak mesej bukan sahaja akar umbi malah golongan atas pagar selepas menyampaikan ucapan dasarnya pada sebelah pagi.
“Termasuk atas pagar, kerana mereka menyifatkan cadangan ini menyentuh keperluan mereka,” katanya. -UTUSAN










