SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan 16,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM34,400 dan menahan dua lelaki dalam Op Tiris di sini semalam.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, bertindak atas risikan dan maklumat awam, sepasukan sembilan anggota telah menyerbu sebuah premis terbuka di Taman Bukit Sentosa di sini pada pukul 4.15 petang.
“Pemeriksaan menyeluruh ke atas premis oleh pasukan serbuan telah mendapati terdapat aktiviti pemindahan minyak diesel dari tong intermediate bulk container (IBC) yang berada dalam lori bonded ke dalam lori tangki.
“Pemandu lori tangki serta kelindan telah ditahan kerana disyaki telah berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah dan melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Muhammad Zahir, dua lelaki warga tempatan itu yang berada di lokasi kejadian telah ditahan bagi tujuan membantu siasatan.
“Turut disita dalam serbuan tersebut, sebuah lori tangki, sebuah lori bonded enam unit tong IBC dan dua unit paip penyambung yang menjadikan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM59,400.
“Satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperoleh dan diedarkan,” katanya.-UTUSAN.