KULAI: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya merempuh sebuah lori di Kilometer 29.5, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 39 tahun itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Yusof Othman berkata, anggota trafik di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 7 pagi.
Kemalangan tersebut melibatkan kereta Perodua Ativa dengan sebuah lori Hino yang dalam perjalanan menuju ke arah utara.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika Perodua Ativa menghala ke utara telah hilang kawalan lalu melanggar belakang lori itu yang berada di lorong kiri.
“Mangsa itu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN