KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menamakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai poster boy bagi Selangor, meskipun ia tidak diumumkan secara rasmi.
Perkara itu didedahkan seorang pegawai kanan Mohamed Azmin kepada Utusan Malaysia dengan menjelaskan, beberapa pimpinan tertinggi sudah dimaklumkan perkara itu, malah juga disebut dalam beberapa mesyuarat tertutup dalam kalangan pimpinan parti berkenaan.
Bagaimanapun, beliau yang tidak mahu dinamakan berkata, masalahnya ialah Pas Selangor dikatakan tidak menerima Mohamed Azmin sebagai calon poster boy.
“Setakat ini, memang Pas Selangor tidak menyambut baik cadangan ini kerana rekod Azmin akan menjadi kelemahan untuk memenangkan PN. Itu sahaja yang menjadi masalah utama.
“Sebab itu sehingga hari ini, kita masih belum dedahkan kepada umum sebab tidak mahu ia menjadi senjata pihak lawan untuk ‘menikam’ PN,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Baru-baru ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan tidak perlu mengumumkan calon Menteri Besar (MB) baharu untuk Selangor ketika ini.
Ujarnya, PN telah mengenal pasti tokoh-tokoh tertentu dan akan mengumumnya apabila berjaya menakluk negeri itu pada PRN akan datang.
“Kita (PN) tak perlu umumkan (calon MB Selangor)… pada prinsipnya senarai kita kenal pasti, (ada) ramai tokoh dan nanti sampai masa yang sesuai, tahulah siapa MBnya, insya-Allah apabila kita menang (PRN),” jelasnya dilapor sebelum ini.
Tambah pegawai kanan itu lagi, beberapa pemimpin tertinggi yang menamakan Mohamed Azmin sebagai poster boy dipercayai mempunyai kepentingan tertentu jika diterima oleh PN tetapi enggan mendedahkan secara terperinci.
Untuk rekod, Mohamed Azmin sebelum ini pernah memegang jawatan Menteri Besar Selangor pada September 2014 sehingga Jun 2018. – UTUSAN










