KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membetulkan dakwaannya bahawa beliau telah menolak usul tergempar untuk membahaskan isu ketirisan di dalam projek mega kapal tempur pesisir pantai (LCS) di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, Syed Saddiq telah bersikap tidak adil terhadapnya kerana beliau tidak membaca keseluruhan kandungan surat yang dibalas dan hanya menekankan soal ‘bukan kepentingan awam dan tiada keperluan mendesak membahaskannya.’
Jelas Johari, pada perenggan empat suratnya menyatakan bahawa usul tergempar Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu tidak memenuhi peraturan 18(7)(c) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Peraturan itu memperuntukkan Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh menolak usul yang dikemukakan kepada jika apa-apa usul melanggar mana-mana syarat dalam peraturan mesyuarat.
“Maksudnya, pada pemahaman beliau saya menolak usul kerana memberi andaian kepada dia (Syed Saddiq) bahawa saya menganggap ini bukan kepentingan orang ramai dan keperluan mendesak. Sedangkan Muar tidak berlaku adil kepada saya.
“Saya dimaklumkan, Kementerian Pertahanan dikehendaki membentang laporan LCS setiap tiga bulan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sehinggalah projek ini disiapkan dan PAC telah pun membuat keputusan melawat ke Lumut, Perak untuk siasatan lanjut.
“Apabila PAC buat keputusan, kita (Dewan Rakyat) mahu bincang buat apa lagi? Tunggulah PAC punya laporan dan saya akan benarkan selepas laporan PAC nanti,” katanya semasa mempengerusi persidangan Dewan Rakyat sesi petang hari ini.
Pagi tadi, Syed Saddiq tidak berpuas hati dan memberitahu bahawa Johari telah menolak usul tergemparnya untuk membahaskan isu ketirisan di dalam projek LCS.
Katanya, beliau baru sahaja menerima jawapan daripada surat yang diutusnya kepada Johari bahawa isu itu bukan bersifat kepentingan awam, malah tiada keperluan mendesak untuk membahaskannya.
PAC sebelum ini mendedahkan, tiada satu pun LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus. -UTUSAN










