PARLIMEN: Kerajaan tidak dedah laporan akhir siasatan nahas

PARLIMEN: Kerajaan tidak dedah laporan akhir siasatan nahas Double Six sebab tiada keperluan 

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan merahsiakan laporan akhir penyiasatan nahas pesawat Sabah Air Model GAF N-22B Nomad atau Double Six selama lebih 40 tahun lalu kerana tidak mempunyai sebarang kewajiban menyiarkan laporan berkenaan kepada umum ketika itu. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan Fourth Edition 13, Aircraft Accident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13), tiada keperluan untuk kerajaan menyiarkan laporan akhir siasatan kepada umum. 

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu dipinda dalam Tenth Edition Annex 13 pada Julai 2010, yang mana laporan penyiasatan kemalangan udara hendaklah disedia dan disiarkan kepada umum dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh kemalangan berlaku. 

“Mengambil kira nahas tersebut berlaku pada 1976 yang mana Fourth Edition Annex 13 masih diguna pakai, maka, kerajaan tidak mempunyai kewajiban untuk menyiarkan laporan penyiasatan kemalangan udara Double Six. 

“Keputusan kerajaan untuk mengelaskan semula Laporan Akhir Siasatan Kemalangan Udara Pesawat Sabah Air Model GAF N-22B Nomad, 6 Jun 1976 di bawah seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) untuk didedah kepada umum mulai 11 April 2023 adalah sejajar dengan dasar kerajaan yang mementingkan ketelusan dan keterbukaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam. 

Kata Anthony, di dalam Tenth Edition Annex 13 (selepas pindaan) pada Julai 2010, kesemua laporan yang didedah kepada umum antaranya Laporan Kemalangan Udara Pesawat Malaysia Airlines (MH370) pada 8 Mac 2014 dan Kemalangan Udara Helikopter Eurocopter AS350B3e (RP-C6828 di Sungai Batang Lupar, Kuching, Sarawak, 5 Mei 2016. 

“Hasil penelitian kementerian terhadap perenggan 1.11 di muka surat 8 Laporan Akhir Siasatan Kemalangan Udara Double Six pula, laporan akhir siasatan ini tidak menyebut mengenai rekod daripada Black Box/Flight Recorder pesawat disebabkan pemasangan Kotak Hitam/ Flight Recorder ke atas pesawat jenis Model GAF N-22B Nomad tidak diperlukan pada masa itu,” katanya. 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau [PH-Tuaran] meminta kerajaan menyatakan sebab mengambil masa 47 tahun untuk menyahklasifikasi laporan penyiasatan kemalangan kapal terbang GAF N-22B Nomad milik Sabah Air, yang mengorbankan 11 penumpang termasuk Ketua Menteri, Tun Fuad Stephens dan mengapa laporan siasatan tidak menyebut rekod percakapan daripada Kotak Hitam.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [PN-Beluran], jika kerajaan mengusahakan sebarang bentuk pampasan kepada keluarga mangsa akibat tindakan kerajaan, Anthony berkata ia perlu diselesaikan melalui undang-undang. 

“Sebarang tuntutan bentuk pampasan sekiranya ada, perlu diselesaikan melalui proses perundangan sedia ada,” katanya. 

Double Six adalah nahas pesawat keluaran Australia berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens bersama 10 yang lain.

Fuad menaiki pesawat itu dari Labuan ke Kota Kinabalu untuk menghadiri jamuan rasmi dengan Menteri Kewangan Persekutuan ketika itu dan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah di Istana Negeri.

Bagaimanapun, pesawat itu terhempas di perairan Sembulan ketika ia menghampiri Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Tragedi itu turut mengorbankan Menteri Kewangan negeri, Datuk Salleh Sulong; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Peter Mojuntin; Menteri Kerja Raya dan Komunikasi negeri, Datuk Chong Tien Vun; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Darius Binion serta Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Wahid Peter Andu.

Turut terbunuh, Dr. Syed Hussien Wafa (Pengarah Unit Perancangan Ekonomi), Ishak Atan (Setiausaha Sulit Tengku Razaleigh Hamzah), Kapten Gandhi Nathan (juruterbang), Koperal Said Mohamed (Pengawal Tun Fuad) dan Johari Stephens (anak sulung Fuad). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya