BACHOK: Rungutan bekalan ikan rakyat merosot ketika ini berpunca akibat cuaca laut yang panas melampau sehingga sesetengah spesies ikan seperti selayang mati atau berpindah ke kawasan lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok, Saripudin Ishak berkata, sebelum ini, kekurangan bekalan berpunca daripada faktor semula jadi seperti bulan mengambang dan musim ikan bertelur.
Menurut beliau, ketika musim panas sebegini ramai nelayan ‘mengalah’ kerana setiap kali turun ke laut, hasil diperoleh tidak banyak berbanding sebelum ini.
“Keadaan ini menyebabkan ikan rakyat seperti sardin kurang di pasaran. Akibat musim panas juga banyak ikan ditemui mati terapung di permukaan laut. Pemancing juga merungut kerana hanya ikan kalis panas seperti buntal lebih banyak ditemui,” kata beliau.
Selain itu, kata Saripudin berkata, kerja-kerja penambakan laut juga menjadi faktor memusnahkan habitat dan tempat ikan membiak serta kematian plankton apabila ekosistem laut berubah.
“Buktinya, sebelum ini keadaan air laut di kawasan Bachok bersih namun sejak kebelakangan ini pukat mereka sering berselut dan terlekat lumpur. Ia sesuatu yang pelik yang tidak pernah dialami nelayan di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata, kenaikan harga ikan rakyat sebenarnya tertakluk kepada keinginan pengguna yang gemar membeli ikan basah segar terutama pada waktu nelayan kurang turun ke laut atau pada musim laut bergelora.
Katanya, stok bekalan ikan rakyat yang ada lebih daripada mencukupi cuma sukar untuk mengubah selera dan tabiat pengguna (pembeli) untuk makan ikan sejuk beku termasuk penduduk yang berhampiran dengan pantai.
“Ikan sejuk beku hanya dimakan pengguna yang tinggal di pedalaman atau di restoran besar di Kuala Lumpur atau bandar-bandar utama. Selera individu berbeza sebenarnya walau pun kita jual ‘ikan rakyat’ yang disejuk beku dan masih segar, mereka tetap memilih untuk tidak membelinya,” katanya. – UTUSAN










