PUTRAJAYA: Kerajaan harus mengenal pasti kira-kira 30,000 pelajar yang tercicir dari Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya mereka boleh diserap ke mana-mana program latihan sedia ada.
Ketika ini dianggarkan 30,000 pelajar tidak menghadiri peperiksaan SPM dan perlu hidup tanpa sijil minimum yang diperlukan untuk memohon pelbagai jawatan termasuk dalam kerajaan.
Terdapat kebimbangan golongan ini akan terus memasuki alam pekerjaan yang tidak menepati kemampuan dan menidakkan negara daripada kepakaran dalam bidang teknologi dan kemahiran.
Kehilangan 30,000 tenaga kerja setiap tahun kerana keciciran juga akan menjejaskan masa depan negara yang ketika ini bergantung kepada pekerja asing.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, kerajaan dan Kementerian Pendidikan perlu proaktif menangani masalah ini.
“Tanpa sijil SPM, mereka bukan sahaja tidak boleh lanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya, malah tidak boleh memasuki alam pekerjaan apatah lagi selepas kerajaan mansuhkan Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau juga berkata, perdebatan angka sebenar yang tidak menduduki SPM 2022 harus dihentikan, sebaliknya semua pihak harus mencari penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah ini.
PELUANG
“Saya yakin jika diberi peluang kedua dengan mengikuti program khas di bawah KPM, sebilangan besar daripadanya akan merebut peluang ini. Mereka masih muda dan perlu dibimbing sehingga berjaya,” katanya.
Ketika ini dipercayai kebanyakan yang tercicir memilih memasuki alam pekerjaan seperti ekonomi Gig dan menjadi penghantar makanan dan barang kerana dianggap jalan mudah mencari wang. Dianggarkan terdapat 70,000 penghantar makanan dan barangan dengan lebih 90 peratus adalah Melayu.
Jumlah pekerja informal di negara ini berjumlah 3.5 juta orang pada 2021 atau 23.2 peratus daripada keseluruhan guna tenaga negara, menurut perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Saya setuju mereka dibantu, tetapi bukan dengan mengadakan peperiksaan SPM kali kedua. Bagi yang gagal mendapat sijil SPM, mereka boleh masuk ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti Giatmara atau Institut Kemahiran yang menawarkan pekerjaan dan latihan teknikal,” kata Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad.
Ketika ini kerajaan telah menyediakan pelbagai program latihan seperti TVET, Giatmara dan latihan industri lain tetapi ramai anak muda enggan mengikutinya.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, mereka tidak hadir menduduki peperiksaan mungkin atas sebab-sebab di luar kawalan seperti kesihatan, logistik atau pengangkutan.
BERMINAT
“Bukan semuanya kerana mereka tidak berminat mengambil peperiksaan. Jika kita tidak memberi peluang kepada mereka ini, ia bukan sahaja kerugian kepada pelajar tetapi masalah kepada negara yang bakal kekurangan bakat dan tenaga mahir di masa depan,” katanya yang mencadangkan pengetua sekolah boleh menghubungi pelajar-pelajar ini dan mengetahui punca dan bentuk bantuan yang boleh diberikan.
Beliau juga tidak percaya sebahagian besar yang tidak hadir kerana mahu bekerja dalam bidang ekonomi Gig terutama mereka mereka di luar bandar dan pedalaman.
Dalam persidangan Dewan Rakyat pada 15 Jun lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying memaklumkan seramai 29,663 daripada 388,832 pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM 2022.
Rekod itu turut menyenaraikan jumlah keseluruhan yang tidak mengambil peperiksaan termasuk mereka yang mendaftar hanya satu mata pelajaran.
Bagaimanapun bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan hanya 14,858 atau 3.8 peratus calon tidak hadir peperiksaan.
Analisis KPM menunjukkan calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lalu meningkat berbanding tahun sebelumnya. Keadaan juga diburukkan dengan dengan pelajar yang gagal memperoleh sijil SPM. – UTUSAN










