MADA ambil tindakan awal tangani isu saliran

MADA ambil tindakan awal tangani isu saliran

PENGAIRAN sawah untuk penanaman padi terjejas akibat masalah sistem saliran.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengambil beberapa tindakan awal bagi menangani isu berhubung masalah sistem saliran yang menjejaskan tanaman pesawah di negeri ini.

Bagi tujuan itu, MADA mengenal pasti lokasi dibangkitkan oleh para pesawah yang bertempat di Sistem Blok Pengairan ALBD 7 dan ALBD 8 melibatkan empat lokasi iaitu Kampung Padang Petani, Kampung Bongor Kudung, Kampung Tok Pulau serta Kampung Pida 15 di Simpang Empat, di sini.

Pejabat Pengurus Besar MADA dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini berkata, pihaknya mengadakan pertemuan bersama pesawah pada 23 Mei lalu berkaitan dengan penyediaan pam diesel bagi membantu mengalirkan air dari parit ALBDr 8 ke tali air sekunder ALBD 8.

“MADA juga menjalankan kerja-kerja pembersihan saluran air pusingan pertama sepanjang sistem ALBDr8 pada 19 Mei lalu namun tumbuhan air yang tebal menyebabkan aliran air buangan perlahan.

“Di samping itu, lembaga ini turut melaksanakan kerja-kerja pemulihan di ALBDr 8 dengan menggunakan jentera berat di parit-parit tersier sepanjang 2,350 meter dan 1,150 meter di Parit Bongor Kudung pada bulan April lalu,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 2,000 orang pesawah kawasan Simpang Empat dan Sanglang dilaporkan terjejas ekoran masalah sistem saliran yang menyebabkan mereka tidak dapat mengusahakan tanaman.

Para Pesawah mendakwa, saluran air sepanjang 6.5 kilometer dari Sungai Tok Pulau hingga Sungai Pida 15 di Jalan Sanglang, Kedah itu sepatutnya diselenggara MADA empat kali setahun namun hanya dilaksanakan sebanyak dua kali sahaja dalam tempoh berkenaan.

Tambah kenyataan itu, langkah awal dilaksanakan MADA itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan air lebihan terhadap aktiviti tanaman padi.

“MADA juga akan menjalankan kerja-kerja pembersihan saluran air pusingan kedua pada 15 Jun ini disamping melakukan pembersihan tumbuhan air di tali air sekunder ALBD 8,” katanya.

Dalam pada itu, MADA berkata, pihaknya juga telah merancang tindakan jangka panjang dengan melaksanakan kerja-kerja pemulihan parit sekunder terlibat iaitu ALBDr 8 sepanjang 6.75 kilometer dengan turut membabitkan kerja-kerja pembuangan enapan, menjalankan cucian berat serta meninggikan ban kiri parit sekunder.

Katanya, MADA turut membuat permohonan peruntukan di dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12) bagi pembinaan stesen pam elektrik untuk membuang air lebihan daripada parit ALBDDr 8 ke Terusan Arau namun projek itu tidak diperakui.

“Cadangan penyelesaian tindakan jangka panjang dapat memberi impak lebih besar kepada peladang terlibat dan bakal dimanfaatkan oleh 1600 orang di dua blok pengairan MADA iaitu Blok Pengairan ALBD7 dan ALBD8,” katanya.

Tambah kenyataan itu, faktor utama keadaan air bertakung di kawasan itu adalah berikutan turunan hujan dan saluran parit dipenuhi dengan tumbuhan air.

“Keadaan sawah bendang tidak sekata dan rendah juga telah menyukarkan penyaliran air keluar malah keadaan fizikal parit yang mempunyai dasar cetek kesan enapan serta ban rendah telah menyebabkan penyaluran air lebihan menjadi perlahan sehingga berlaku limpahan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN