Korban: Johor hanya benar di masjid, surau, pusat sembelihan - Utusan Malaysia

Korban: Johor hanya benar di masjid, surau, pusat sembelihan

MOHD. FARED MOHD. KHALID menyampaikan sumbangan kepada tokoh Qari Negeri Johor, Aziz Mustakim di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri hanya membenarkan aktiviti korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini dilaksanakan di masjid, surau dan pusat penyembelihan terpilih.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kebenaran hanya dikeluarkan kepada masjid dan surau yang mempunyai ruang penyembelihan khusus dan lengkap.

Justeru, masjid dan surau yang ingin menjalankan ibadah korban perlu mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Kadi Daerah dan pusat penyembelihan di bawah Pejabat Perkhidmatan Veterinar. 

“Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah mengeluarkan garis panduan berkaitan pelaksanaan ibadah korban pada tahun ini dan telah diedarkan kepada Jabatan Kadi Daerah, masjid dan surau.

“Dianggarkan terdapat 838 masjid dan 1,900 surau di negeri ini. Permohonan bagi mendapatkan kebenaran pelaksanaan ibadah korban di masjid dan surau masih dibuka, hingga 18 Jun depan,” katanya selepas merasmikan Majlis Multaqa Guru-Guru al-Quran Bersama Johan Qari dan Qariah Antarabangsa Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Fared menjelaskan, bagi masjid atau surau yang tidak mempunyai kemudahan penyembelihan tetapi ingin menganjurkan ibadah korban, mereka perlu berurusan dengan pusat penyembelihan yang berdaftar.

“Kita faham tidak semua masjid dan surau mempunyai kelengkapan dan kemudahan untuk melaksanakan ibadah korban seperti yang ditetapkan. 

“Oleh itu, Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid dan Surau boleh melakukan sembelihan di pusat penyembelihan dan masjid yang dibenarkan. Masjid dan surau itu hanya dibenarkan untuk aktiviti melapah, membungkus dan edaran sahaja,” katanya sambil memberitahu rumah sembelihan mesti berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri.

Dalam pada itu, Mohd Fared memberitahu, Johor juga akan mengikut jejak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menganjurkan solat hajat di masjid dan surau berikutan keadaan cuaca panas dan kering di seluruh negara ketika ini.

Beliau berkata, solat hajat dan doa selamat itu akan diadakan esok selepas solat Jumaat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.