KOTA BHARU: Tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang mengenakan kompaun kepada seorang peniaga wanita bukan Islam selepas didapati memakai pakaian tidak sopan bukan bersifat diskriminasi.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tindakan kompaun tersebut berdasarkan peraturan yang terdapat dalam undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, pihak PBT berhak untuk mengambil tindakan sekiranya ada individu yang melanggar peraturan sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang PBT tanpa mengira sesiapapun.
“Tindakan yang kita ambil berdasarkan peraturan yang ada dan bukan diskriminasi, bukan sahaja orang Cina, tetapi pekerja Melayu juga ada yang pernah disaman kerana melanggar peraturan.
“Malah peraturan berpakaian di tempat awam juga sudah disenaraikan dalam kertas kompaun yang diberikan kepada wanita berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang peniaga wanita bukan Islam dikenakan kompaun oleh MPKB-BRI selepas didapati memakai pakaian tidak sopan ketika berada di premis perniagaan pakaian di Jalan Merbau di sini,kelmarin.
Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, wanita berusia 35 tahun itu didapati memakai seluar yang terlalu pendek hingga terlindung di sebalik baju T.
Katanya, kompaun dikeluarkan kepada pemegang lesen perniagaan atau pemilik sebuah premis mengikut Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.-UTUSAN