Kes Radhi OAG selesai, bekas isteri tarik balik kes

Kes Radhi OAG selesai, bekas isteri tarik balik kes

MUHAMMAD Radhi Razali hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi perbicaraan kes mencederakan bekas isterinya.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes penyanyi, Radhi OAG yang didakwa memukul bekas isterinya Nur Shahira Ayu Zahiri, selesai secara baik di Mahkamah Majistret di sini selepas wanita itu menarik balik kes terhadap artis berkenaan hari ini.

Mangsa berusia 29 tahun itu memaklumkan, pihaknya tidak berhajat meneruskan kes terhadap Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 46, dan ingin menyelesaikannya tanpa melalui perbicaraan yang lebih panjang.

“Setelah berbincang dengan Radhi, saya ingin menarik balik kes atas sebab-sebah tertentu. Salah satunya ingin menjimatkan masa mahkamah, saya faham pekerjaan Radhi jadi saya hendak selesaikannya secara baik,” katanya ketika berada dalam kandang saksi.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol kemudian menetapkan 24 Julai ini bagi sebutan kes supaya pihak-pihak memaklumkan status laporan polis yang perlu ditarik balik oleh Nur Shahira selepas wanita itu menyelesaikan kesnya di luar mahkamah.

Bekas isteri artis berkenaan yang sepatutnya disoal balas oleh pihak pembelaan pada hari kedua perbicaraan, memaklumkan ingin menarik balik kes berkenaan.

Ketika ditanya Muhammad Iskandar sama ada dia ada membuat laporan polis bagi menarik balik kes tersebut, Nur Shahira menyatakan dia tidak membuatnya.

Saksi pendakwaan pertama itu turut menyatakan dia memahami dengan jelas akibat tindakannya tidak meneruskan kes terhadap Radhi.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Loh Xian Yee manakala Radhi diwakili peguam Haziq Aizuddin Subhi.

Pada 14 Februari lalu, bekas isteri Radhi ketika memberi keterangan memberitahu, penyanyi itu menjerit dengan kata-kata kesat sebelum berlaku pergaduhan di parkir sebuah kondominium di Damansara di sini, tahun lalu.

Nur Shaira berkata, bekas suaminya itu memaki hamunnya dengan mengatakan ‘kau ingat kau bagus, kau ingat kau cantik’ hanya kerana dia enggan berswafoto.

Ujarnya, Radhi kemudian mengajak berswafoto dalam kereta menggunakan telefonnya namun dia menolak kerana enggan berpelukan sambil berswafoto kerana sudah bercerai.

“Saya kata kalau nak bergambar, ambil di luar kereta dan di situ permulaan Radhi marah. Dia jerit depan muka saya termasuk mengeluarkan perkataan kesat kerana marah kenapa tidak boleh berbaik untuk ambil gambar.

“Saya cakap elok-elok ketika perbalahan berlaku. Kenapa perlu marah? Kita ada kehidupan masing-masing dan tidak perlu ambil gambar sebegini,” kata saksi itu.

Katanya berikutan itu, berlaku insiden tolak menolak dan berlaku pergaduhan sebelum kakaknya datang meleraikan situasi tegang yang berlaku.

Nur Shaira berkata ekoran kejadian itu dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara pada hari sama selain mengesahkan terdapat kesan lebam pada tangannya akibat kejadian itu.

Mengikut pertuduhan, Radhi didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shahira di parkir Emporis Menara D Kota Damansara, di sini, pukul 2.29 petang pada 19 April 2022.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dikurniakan dua anak, Muhammad dan Nur Aisyah masing-masing berusia enam dan tujuh tahun.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN