AMPANG JAYA: Ahli keluarga kepada Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62, yang maut di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang di sini semalam, meluahkan rasa terkilan kepada suspek langgar lari yang meninggalkan bapanya begitu sahaja.
Anak mangsa, Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 36, berkata, dia sama sekali tidak dapat menerima sikap tidak bertanggungjawab suspek yang langsung tidak membuat panggilan kepada pihak hospital.
Kata Muhammad Hafidz, suspek juga langsung tidak menghubunginya dan berjumpa dengan pihak keluarga untuk meminta maaf.
“Tindakan suspek sama sekali tidak bertanggungjawab dan suatu yang tidak boleh diterima oleh saya dan seluruh ahli keluarga.
“Meskipun dia bersalah kerana melawan arus dan menyebabkan arwah ayah meninggal dunia namun setidak-tidaknya suspek mencari dia sekeluarga untuk memohon maaf,” katanya di sini hari ini.
Tambah Muhammad Hafidz, keluarganya ketika ini masih lagi bersedih dan terkejut dengan kejadian yang menimpa bapanya.
Hasil tinjauan Utusan Malaysia di Unit Forensik Hospital Ampang, proses bedah siasat selesai sekitar pukul 1 petang dan urusan mandi jenazah dijangka dilakukan di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, di sini.
Difahamkan, jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana petang ini.
Dalam pada itu, Mohammad Hafidz turut memohon orang ramai yang mengenali arwah ayah untuk mendoakan kebaikan buatnya dan berada dalam kalangan orang-orang beriman serta beramal soleh. -UTUSAN










