ISKANDAR PUTERI: Negeri ini menerima pelaburan komited berjumlah RM10.6 bilion bagi suku pertama tahun ini menerusi 205 projek dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, daripada jumlah itu, 58 projek dalam sektor pembuatan dengan nilai pelaburan RM1.8 bilion telah diluluskan yang dijangka akan mewujudkan sebanyak 3,013 peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan.
“Sebanyak 147 projek dalam sektor perkhidmatan dengan jumlah pelaburan komited RM8.76 bilion juga telah diluluskan dan menyediakan 298 peluang pekerjaan,” katanya menjawab soalan Datuk Mohamad Najib Samuri (BN-Parit Yaani) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Ting Han yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh turut memberitahu, jumlah pelaburan komited RM10.6 bilion itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM7.3 bilion atau 221 peratus berbanding RM3.3 bilion yang dicapai pada suku pertama, tahun lalu.
“Untuk makluman, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM1.35 bilion atau 75 peratus, manakala pelaburan langsung domestik mencatatkan RM450 juta atau 25 peratus bagi sektor pembuatan.
“Sektor pembuatan yang dibahagikan kepada 12 subsektor pula menyaksikan subsektor elektrikal dan elektronik menerima pelaburan tertinggi sebanyak RM1.12 bilion, diikuti produk logam fabrikasi RM185 juta, kimia serta produk kimia RM90 juta, kertas, percetakan dan penerbitan RM76 juta dan pembuatan makanan RM73 juta,” katanya.
Bagi sektor perkhidmatan pula, projek yang mencapai status Malaysia Digital telah menerima nilai pelaburan tertinggi, iaitu RM5.85 bilion, diikuti informasi dan komunikasi RM1.61 bilion, hartanah RM911 juta, utiliti RM284 juta dan perdagangan pengedaran RM56 juta. – UTUSAN