JKDM Pahang rampas rokok putih bernilai RM1.7 juta - Utusan Malaysia

JKDM Pahang rampas rokok putih bernilai RM1.7 juta

ZAZULI Johan (dua dari kanan) menunjukkan rampasan rokok putih yang nilai keseluruhannya berjumlah RM1.7 juta di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 2.1 juta batang rokok putih dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.7 juta pada 23 Mei lalu.

Nilai keseluruhan rampasan itu membabitkan rokok putih yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta dengan jumlah cukai berjumlah RM168,000.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, hasil maklumat orang awam, pihaknya berjaya mengesan kenderaan jenis motolori di pekarangan stesen minyak di Felda Neram 1, Kemaman, Terengganu dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Pantai Barat.

“Pihak penguatkuasa menahan pemandu lori terbabit yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ketika sedang mengisi minyak di situ.

“Hasil pemeriksaan fizikal di tempat kejadian mendapati barang yang disyaki merupakan rokok larangan import. Motolori dan rokok yang dirampas dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Kuantan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zazuli berkata, sindiket menggunakan motolori kanvas itu bergerak aktif pada waktu kemuncak bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan menggunakan laluan Persekutuan Jalan Jerangau-Jabor bagi tujuan pengedaran rokok terbabit di kawasan Pantai Barat.

“Akhir-akhir ini, kita mengenalpasti aktiviti penyeludupan mula beralih dari Pantai Timur ke Pantai Barat dan dilihat semakin aktif, ada yang menggunakan laluan laut.

“Penyeludupan ini bukan sahaja merugikan negara daripada segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menghubungi talian bebas tol JKDM 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.