PETALING JAYA: Siapa sebenarnya jasad lelaki warga Indonesia yang meninggal dunia pada 12 April lalu dan sehingga kini masih berada di rumah mayat Unit Forensik Hospital Kajang?
Akhbar ini melaporkan mengenai kematian seorang warga emas rakyat Indonesia bernama ‘Basni Sabrah’, 64, yang masih berada di rumah mayat dan hanya akan dikebumikan selepas pengesahan identiti oleh pihak berkuasa Indonesia.
Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, waris kepada lelaki yang dikatakan ‘Basni Sabrah’ dari Kepulauan Riau, Indonesia berjaya dijejaki sekitar Mei lalu selepas mendapat laporan daripada Pusat Jagaan Nur Hasanah pada April.
Bagaimanapun, beliau berkata, selepas semakan dengan keluarga si mati, maklumat yang diterima menyatakan Basni Sabrah masih hidup dan bekerja di ibu negara.
“Pegawai kedutaan berjaya menjejaki isterinya yang kini berada di Riau, namun dia memaklumkan bahawa suaminya masih hidup.
“Melalui maklumat itu, pihak kedutaan kemudian menghubungi lelaki bernama Basni Sabrah dan mengesahkan bahawa dia masih hidup. Dia masih berada di Malaysia dan bekerja di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
“Basni Sabrah” yang menghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, meninggal dunia pada 12 April lalu.
RADANG
Dia dimasukkan ke Hospital Kajang pada Disember 2019 akibat radang paru-paru teruk. Namun dia tidak dituntut oleh mana-mana pihak dan memaksa pihak berkuasa merujuk lelaki tua itu ke pusat jagaan berkenaan.
Selepas empat tahun menghuni pusat jagaan warga emas berkenaan, lelaki itu meninggal dunia di Hospital Kajang akibat masalah kesihatan.
Untuk rekod, Basni Sabrah adalah pemegang MyKad merah (pemastautin tetap) beralamat di Parit 3, Ban 4 1/2, Sungai Burong, Sekinchan, Selangor.
Hermono berkata, pihak kedutaan masih tidak mempunyai sebarang petunjuk identiti sebenar lelaki yang meninggal dunia tersebut walaupun dikatakan rakyatnya.
“Itu masalahnya sekarang, kami tidak ada sebarang clue siapakah identiti sebenar si mati, jadi bagaimana surat kebenaran untuk menguruskan jenazahnya dapat dikeluarkan,” katanya.
Kematian individu tanpa pengenalan atau tidak dituntut terutama membabitkan warga asing menyebabkan terdapat limpahan jasad di rumah mayat kemudahan forensik kerajaan. Keadaan itu juga menyebabkan kebanyakan rumah mayat penuh dan memberi tekanan kepada pihak berkuasa terutama kerana terpaksa menyimpan jasad terlalu lama.
Selain itu pihak hospital berdepan masalah warga tua yang dihantar ke hospital bagi rawatan tetapi ditinggalkan waris masing-masing, sekali gus meningkatkan kesesakan di hospital yang sememangnya berdepan tekanan ramai pesakit. – UTUSAN










