Jasad lelaki di Hospital Kajang bukan ‘Basni Sabrah’ – JPN - Utusan Malaysia

Jasad lelaki di Hospital Kajang bukan ‘Basni Sabrah’ – JPN

Lelaki yang mendakwa bernama Basni Sabrah sebelum meninggal dunia di Hospital Kajang disahkan JPN mengguna dokumen palsu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan lelaki yang meninggal dunia di Hospital Kajang pada 12 April lalu menggunakan kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR) atas nama Basni Sabra palsu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN, Mohd. Sanusi Wahab berkata, Basni Sabrah yang ditemu bual akhbar ini adalah pemegang kad MyPR yang sah.

Menurut beliau, pengesahan tersebut dibuat berdasarkan nombor MyPR lelaki berusia 64 berkenaan melalui pangkalan data JPN.

“Betul, pengadu adalah pemilik sebenar (kad MyPR). Setakat ini tiada kertas siasatan akan dibuka kerana lelaki tersebut adalah tulen,” katanya.

Ditanya sama ada lelaki yang meninggal dunia menggunakan ‘khidmat’ sindiket pemalsuan dokumen untuk memperoleh kad MyPR berkenaan, Mohd. Sanusi berkata, masih terlalu awal untuk membuat andaian tersebut.

“Saya percaya si mati menemukan (kad) MyPR (pemilik sebenar) yang hilang. Terlalu awal untuk saya katakan ada sindiket yang terlibat,” katanya.

WARGA EMAS

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan jasad seorang lelaki warga emas bernama ‘Basni Sabrah’ masih tersimpan dalam peti sejuk Unit Forensik Hospital Kajang walaupun smeninggal dunia pada 12 April lalu.

Si mati sebelum itu penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah di Beranang, selama empat tahun namun difahamkan pihak pengurusan pusat tersebut tidak pernah ada dokumen pengenalan dirinya melainkan salinan kad pengenalan pemastautin tetap dengan nama ‘Basni Sabrah’.

Isu tersebut menimbulkan persoalan apabila, Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono memaklumkan bahawa individu bernama Basni Sabrah sebenarnya masih hidup dan menetap di ibu negara selepas berjaya menjejaki warisnya di Sumatera.

Akhbar ini juga berjaya menghubungi Basni Sabrah yang sebenar dengan bantuan Kedutaan Indonesia yang kini bekerja sebagai kelindan lori di ibu negara.

Sementara itu, pada 19 Jun lalu, Kedutaan Indonesia mengeluarkan surat menyerahkan kematian lelaki berkenaan kepada Hospital Kajang untuk urusan selanjutnya.

Surat tersebut dihantar kepada Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado untuk dirujuk kepada hospital bagi membolehkan urusan pengebumian lelaki warga emas tersebut yang tidak diketahui latar belakang sebenar.

Bercakap kepada akhba ini, Mohiadin berkata, surat itu sudah dirujuk kepada pihak hospital namun pengurusan institusi kesihatan tersebut meminta pihaknya membuat laporan polis dan Akuan Bersumpah (SD) untuk menuntut jasad berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah selesai membuat laporan polis dan SD seperti yang diminta pihak pengurusan dan kini hanya menunggu keputusan Pengarah Hospital sama ada jasad lelaki tersebut dibenarkan untuk dikebumikan.

“Kini kami hanya menunggu keputusan pihak hospital, jika hari ini (semalam) dapat pelepasan, jenazah akan dikebumikan dengan segera,” katanya ketika dihubungi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN