CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) meminta kerajaan membekukan serta-merta pemberian lesen baharu kepada kontraktor G1 hingga G7 yang ketika ini berjumlah 130,000 orang di seluruh negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, perkara itu perlu dilakukan sehingga ekonomi negara pulih kerana industri pembinaan ketika ini malap sejak penularan pandemik Covid-19 ekoran ketiadaan kerja dan harga bahan binaan utama seperti simen serta besi terus melonjak
Beliau mempersoalkan, jika kontraktor entiti yang bagus, kenapa 50,000 kontraktor berlesen di seluruh negara terpaksa ‘gulung tikar’ selepas gagal memperbaharui lesen sejak 2018.
“Lesen baharu kontraktor terus dibuka sehingga berlaku lambakan misalnya G1 yang ketika ini berjumlah 46,000 orang, ini jumlah yang begitu besar, lesen tetap perlu diperbaharui, yang untungnya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
“Alasannya lesen dibuka untuk bantu graduan yang tak ada kerja, ini bukan membantu sebaliknya akan membunuh mereka jika masuk dalam industri yang sudah malap ini,” katanya di sini semalam.
Untuk rekod, hampir 50,000 lesen ditamatkan dan tidak memperbaharui Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) CIDB merangkumi semua kategori sejak 2018 hingga 2022.
Berdasarkan statistik tersebut, kontraktor kelas G hingga G3 paling banyak ‘gulung tikar’ pada tahun sama iaitu sekitar 42,000 lesen.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzill berkata, apabila kerajaan melaksanakan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) dengan peruntukan RM500 juta bagi membiayai pelaksanaan projek infrastruktur kecil, lebih ramai individu akan memohon lesen menjadi kontraktor.
“Jika permohonan lesen baharu terus dibuka, pasti ramai yang akan mohon kerana prosesnya cukup mudah hanya secara dalam talian, bayar amaun diperlukan, lulus dan sudah pun bergelar kontraktor.
“Bila ramai masuk, kerja tak dapat bising. Ini disebabkan kroni dan rasuah sehingga saya pernah menyatakan kepada mereka jika benar wujud rasuah, lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Fadzill berharap kerajaan khususnya Kementerian Kewangan tidak berdiam diri sebaliknya mendengar permohonan PKMM supaya membekukan serta-merta pemberian lesen baharu kontraktor G1 hingga G7.
Sementara itu, Yang Dipertua PKMM Pahang, Abd. Gapar Lambak berkata, tindakan kerajaan pada 2019 yang membuka semula permohonan lesen baharu kontraktor mengubah landskap industri pembinaan negara.
“Dulu kita terpaksa menjalani kursus dan temu duga untuk jadi kontraktor. Kalau tak pandai tak boleh jadi kontraktor. Sekarang disebabkan syarat mudah, ramai kontraktor tak pandai.
“Kesannya, apabila ramai kontraktor yang tidak layak berada dalam industri ini, kita tidak dapat mutu seperti mana yang diharapkan,” katanya yang juga Naib Presiden PKMM.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan kontraktor yang berdepan masalah melaksanakan projek bekerjasama dengan Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang akan membantu menyediakan modal.
Jelasnya, kerjasama ini sudah pun dilaksanakan di beberapa negeri dan PKMM mahu ia diperluaskan ke seluruh negara dalam membantu golongan kontraktor yang berdepan masalah modal pusingan.
“Untuk terus memajukan industri pembinaan negara, kita galakkan Bank Rakyat dan BSN bekerjasama dengan PKMM. Jika ia menyeluruh di seluruh negara, insya-Allah boleh membantu kontraktor,” katanya.
Mengulas pelaksanaan IKR, beliau berharap cabutan undi dilakukan besar sehingga RM200,000 bagi membantu golongan kontraktor.
“Kita harap inisiatif ini jangan hanya indah khabar dari rupa. Kita lihat dahulu pelaksanaannya. Pihak persatuan akan pantau.
“Kita harap ia telus, dibuat secara adil bagi membantu kontraktor khususnya Melayu dan bumiputera,” katanya. -UTUSAN