Ibu rugi RM3.5 juta, terpedaya  lelaki dikenali boleh bebaskan anak - Utusan Malaysia

Ibu rugi RM3.5 juta, terpedaya  lelaki dikenali boleh bebaskan anak

SEORANG wanita kerugian RM3.5 juta ditipu lelaki mendakwa dapat membantu membebaskan anak perempuannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerana kasih terhadap anak, seorang wanita kerugian RM3.5 juta diperdaya seorang lelaki yang mendakwa dapat membantu membebaskan anaknya berusia 38 tahun daripada tahanan polis.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, mangsa yang merupakan ahli perniagaan telah membuat beberapa pembayaran kepada suspek sepanjang tempoh tiga tahun, sejak Mac 2020.

Namun, mangsa hanya membuat laporan polis tentang  perkara tersebut baru-baru ini selepas merasakan dirinya ditipu.

“Pengadu berusia 67 tahun mengenali suspek, iaitu seorang lelaki tempatan pada Mac 2020. Suspek mendakwa boleh membantu membebaskan anak perempuan pengadu yang ditahan di Penjara Kajang atas kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sejak 2019.

“Suspek memberitahu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat bagi menyelesaikan kes itu dan membebaskan anak pengadu secepat mungkin dengan syarat pengadu memberikannya sejumlah wang.

“Termakan dengan kata-kata suspek, pengadu telah membuat beberapa kali pembayaran antara Mac 2020 hingga Jun 2023 melibatkan wang berjumlah RM3.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pengadu memaklumkan selepas pembayaran tersebut dibuat, suspek memberikan pelbagai alasan sedangkan anak perempuannya masih tidak dibebaskan sehingga kini, menyebabkan pengadu berasa tertipu dan membuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menjalankan operasi di sekitar bandar raya ini pada pukul 12.35 pagi, 16 Jun lalu.

“Hasil operasi tersebut, polis berjaya menahan suspek yang berusia 35 tahun,” katanya sambil memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila berurusan dengan individu tidak dikenali dan untuk mendapatkan maklumat tentang taktik ‘scammer’,  boleh layari media sosial polis seperti TikTok, Facebook dan Instagram.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN