MUAR: Seorang wanita ditemukan mati dipercayai dikelar anak lelakinya sendiri di sebuah rumah di Taman Temiang Utama, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 8.20 malam tentang kejadian pergaduhan keluarga menggunakan senjata tajam.
“Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa yang berusia 73 tahun terbunuh dalam tempat kejadian itu. Mangsa dipercayai adalah ibu dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta leher.
“Kejadian dipercayai berlaku akibat tindakan mangsa menegur suspek kerana membuat bising, menyebabkan suspek mengamuk dan memukul kepala mangsa menggunakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zamry berkata, suspek lelaki yang merupakan anak mangsa berusia 47 tahun ditahan oleh pasukan polis di tempat kejadian.
“Turut dirampas sebilah pisau dapur dan kapak yang disyaki senjata yang digunakan suspek dalam kejadian ini.
“Siasatan awal pihak polis mendapati suspek mempunyai rekod psikiatrik lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya.
Belaiu menasihati orang ramai supaya peka dan membuat pemantauan rapi terhadap individu yang mengalami masalah psikiatri supaya tidak mendatangkan bahaya nyawa dan harta kepada individu lain, ahli keluarga serta keselamatan awam. – UTUSAN