PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kenyataan didakwa menghina institusi diraja dan Proklamasi Melayu.
Mengesahkan perkara itu, Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, pihaknya melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman merakam percakapan Dr. Mahathir pada 10.30 pagi, hari ini.
“Keterangan beliau diambil di Yayasan AlBukhary, Kuala Lumpur.
“Siasatan dijalankan mengenai kenyataannya (Dr. Mahathir) yang berunsur penghinaan terhadap institusi diraja dan Proklamasi Orang Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes masih di peringkat siasatan.
Terdahulu, Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid dilaporkan berkata, Dr. Mahathir disoal siasat polis selain menyatakan sedia dituduh di mahkamah dan akan menjawab soalan-soalan di mahkamah.
Sebelum ini, Mahathir yang juga Pengerusi GTA mendakwa proklamasi yang diilhamkannya itu bertujuan menyatukan orang Melayu melangkaui garis politik.
Ia menarik sokongan daripada beberapa pemimpin parti pembangkang, termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.-UTUSAN