Hatrik Arif Aiman bawa JDT ke final Piala FA - Utusan Malaysia

Hatrik Arif Aiman bawa JDT ke final Piala FA

PENYERANG JDT, Arif Aiman Hanapi didukung oleh Diogo Luis Santo selepas menjaringkan hatrik pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) menempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA apabila mudah menjinakkan Selangor FC 4-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Arif Aiman Hanapi muncul wira skuad Harimau Selatan setelah jaringan hatriknya pada babak pertama sudah cukup membantu pasukan Harimau Selatan melayakkan diri ke pentas final, seterusnya mempertahankan Piala FA yang dimenangi musim lalu.

Pada awal permainan, aksi kedua-dua pasukan dilihat seimbang setelah masing-masing berupaya melakukan serangan ke arah kubu lawan untuk mencari gol awal.

Walaupun turun tanpa ayam tambatan, Bergson Da Silva, pasukan tuan rumah dilihat tetap berupaya mendatangkan resah buat pasukan lawan yang mahu mencipta keajaiban menewaskan JDT di gelanggang sendiri.

Pada minit ke-17, Ayron Rodriguez hampir mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi rembatan lencong dari luar kotak penalti, namun Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tangkas menepis percubaan tersebut.

JDT berjaya memecahkan kebuntuan hasil serangan balas apabila Fernando Forestieri melakukan lorongan kepada Arif Aiman yang melakukan larian pantas mengatasi pertahanan terakhir seterusnya melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Mohd. Khalid pada minit ke-20.

PENYERANG JDT, Arif Aiman Hanapi berjaya melepasi pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Jaringan pertama pemain sayap itu memberi suntikan semangat buat skuad kendalian Esteban Solari untuk menambah jaringan dengan menggandakan asakan ke kubu lawan.

Hasilnya, JDT berjaya meledak jaringan kedua perlawanan apabila Arif Aiman yang tidak dicabar pemain pertahanan Selangor melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti menewaskan Khairulazhan pada minit ke-33.

Lima minit berselang, pemain kelahiran Pahang itu melengkapkan hatrik selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid dan memanfaatkan umpanan Forestieri menewaskan penjaga gol buat kali ketiga malam ini.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe turut mencuri peluang untuk melakukan serangan balas menerusi tandukan yang dilakukan Yohandry Orozco, namun Ahmad Syihan tidak membenarkan gawang JDT dibolosi.

Pada babak kedua, ketika pasukan pelawat cuba untuk bangkit, JDT mempunyai agenda tersendiri dengan bertindak garang menambah jaringan ketika permainan baru berusia dua minit.

Forestieri yang mencipta dua bantuan gol pada babak pertama meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila meledak gol seawal minit ke-47. 

PENYERANG JDT, Fernando Forestieri diasak pertahanan Selangor FC, Alexander Agyarkwa pada perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Forestieri hampir menambah jaringan lima minit kemudian, namun kali ini Khairulazhan berada di kedudukan yang tepat menafikan percubaan pemain import itu.

Walaupun peluang Selangor untuk bangkit dilihat kian tipis, skuad Red Giant tidak patah semangat untuk melakukan serangan ke kubu JDT untuk sekurang-kurangnya merobek benteng ampuh pasukan tuan rumah itu.

Pada minit ke-60, Sharul Nazeem Zulpakar berpeluang menguji keampuhan menerusi tandukan ke arah pintu gol, namun Ahmad Syihan lebih bersedia.

Faisal Abdul Halim mempunyai dua percubaan tepat ke arah pintu gol JDT, namun percubaan yang dilakukan pada minit ke-67 dan ke-74 itu tepat ke arah dakapan Ahmad Syihan.

Walaupun pasukan pelawat tidak berdepan tekanan untuk mencipta serangan, namun percubaan yang dilakukan tidak berjaya merobek benteng ampuh JDT yang lebih tenang mempertahankan kelebihan itu hingga ke wisel penamat.

Kemenangan tersebut menyaksikan Harimau Selatan akan berentap menentang Kuala Lumpur City FC pada aksi final di Stadium Sultan Ibrahim, 22 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya