JOHOR BAHRU: Pembahagian kerusi membabitkan 245 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi hampir selesai dan hanya sembilan kerusi yang masih belum dimuktamadkan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sembilan kerusi tersebut membabitkan kesemua enam negeri berkenaan, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu selepas Jawatankuasa Perundingan di peringkat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) gagal mencapai kata sepakat.
“Kini kita memasuki peringkat akhir, iaitu untuk dimuktamadkan di peringkat presiden parti.
“Soal kerusi yang bertindih itu, kita serahkan pada kepimpinan tertinggi dan presiden parti untuk memperincikan,” katanya ditemui selepas mengadakan ‘Walkabout’ ke Karnival Institusi Pendidikan Mara Negeri Johor di Plaza Larkin, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah.
Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata, perundingan pembahagian kerusi yang berjalan dengan lancar dan harmoni itu, sekali gus menepis persepsi negatif terhadap kerajaan perpaduan.
“Cakap-cakap yang mengatakan kerajaan tidak stabil itu tidak betullah sebab kita sudah selesaikan 99.7 peratus pembahagian kerusi.
“Bukan setakat itu, malah kita juga berpuas hati dengan jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRN kelak,” katanya.
Beliau yakin pertindihan kerusi itu mampu diselesaikan dalam masa terdekat sebelum penamaan calon. – UTUSAN