Guna resit palsu beli iPhone 14 Pro Max - Utusan Malaysia

Guna resit palsu beli iPhone 14 Pro Max

SEORANG lelaki ditahan kerana disyaki menggunakan resit palsu untuk membeli telefon bimbit iPhone 14 Pro Max di sebuah kedai di Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang lelaki ditahan kerana menggunakan resit palsu untuk membeli telefon bimbit iPhone 14 Pro Max di sebuah kedai di Jalan Kenanga 29/9, Indahpura, di sini kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Yusof Othman berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah pasar raya di Taman Sutera Utama, Skudai, pada pukul 2 petang, semalam.

“Pengadu yang bekerja di premis telefon bimbit berkenaan memaklumkan didatangi seorang lelaki yang mahu membeli sebuah telefon bimbit berharga RM7,350.

“Suspek telah meyakinkan pengadu dengan membuat pembayaran deposit sebanyak RM500, sebelum menunjukkan resit pembayaran dalam talian berjumlah RM6,850 sebagai baki bayaran telefon bimbit berkenaan.

“Kerana mempercayai mangsa, pengadu hanya mengambil butiran nama dan nombor telefon suspek sebelum menyerahkan telefon bimbit berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pengadu hanya sedar ditipu suspek selepas membuat semakan terhadap akaun syarikat dan mendapati tiada sebarang pembayaran diterima daripada jual beli berkenaan.

“Susulan itu, suspek ditahan dalam operasi dijalankan, manakala beberapa barangan dirampas termasuk sebuah telefon bimbit jenis iPhone 14 Pro Max dan sebuah lagi telefon bimbit palsu jenis sama, berserta pakaian, topi dan kasut milik suspek.

“Sehubungan itu, suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya sambil memaklumkan suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN