MEKAH: Tabung Haji (TH) menggesa orang ramai yang ingin menunaikan haji menggunakan visa furada daripada syarikat diiktiraf supaya tidak ditipu.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, saban tahun terdapat kes kumpulan individu terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana tertipu.
Menurut beliau, jumlah bayaran dikenakan mungkin meningkat kerana pada tahun lalu sahaja jumlah tertinggi penipuan mencecah sehingga RM80,000 seorang.
Visa furada adalah visa diuruskan sendiri yang dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh menerusi Tabung Haji.
“Mungkin ketika ini sedang berlegar iklan dan promosi di media sosial menawarkan penerbangan ke Tanah Suci menggunakan visa furada seiring dengan wukuf yang semakin hampir.
“Orang ramai kena berhati-hati dan meneliti setiap tawaran bagi mengelak ditipu. Walaupun visa bukan dalam kuota rasmi Malaysia tetapi ia tertakluk kepada budi bicara dan hak mutlak Arab Saudi,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Syed Saleh, TH hanya mengiktiraf 22 syarikat sebagai pengelola jemaah haji menggunakan visa tersebut dan maklumat itu boleh didapati di laman web TH.
Katanya, syarikat tidak diiktiraf itu juga boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta TH 1955 (Akta 535) walaupun berjaya membawa jemaah menunaikan haji.
“Jemaah akan lebih tenang jika menunaikan haji dengan syarikat diiktiraf. Biasanya individu atau syarikat tanpa kebenaran TH itu akan menurunkan iklan dan promosi selepas diberi amaran,” katanya.
Katanya, pihaknya juga membuat laporan polis ke atas syarikat yang melakukan penipuan sebelum ini dan sedang menunggu hasil siasatan untuk tindakan lanjut.- UTUSAN










