Dua individu kerugian sehingga RM189,100 terpedaya phone scam

Dua individu kerugian sehingga RM189,100 terpedaya phone scam, jual beli kereta tidak wujud

YAHAYA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Gara-gara terpedaya dengan desakan sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam) dan jualan barang tidak wujud,  dua individu mengalami kerugian berjumlah RM189,100 secara keseluruhannya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, berkata, berdarkan laporan polis, mangsa pertama merupakan seorang kerani sebuah syarikat swasta, berusia 44 tahun.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan telefon dari pihak kurier menyatakan terdapat kiriman parcel atas nama mangsa telah disekat, 8 Jun lalu.

“Kemudiannya, panggilan itu disambungkan kepada pihak polis dan mangsa seterusnya diberitahu turut terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram.

“Bukan itu sahaja, malahan mangsa dikatakan  memiliki waran tangkap di Ipoh, Perak.

“Susulan itu, mangsa yang mulai takut memindahkan wang seperti diarahkan kepada tiga akaun berbeza untuk tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Yahaya turut mengesahkan mangsa telah menggunakan keseluruhan wang simpanannya sebanyak RM93,900.

Katanya, mangsa mula curiga dan merasa tertipu apabila wang tersebut lesap dan suspek gagal untuk dihubungi.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Yahaya berkata, seorang penyelia projek turut mengalami kerugian sebanyak RM95,200 setelah ditipu dalam urusan jual beli kenderaan yang tidak wujud.

Menurutnya, mangsa terpedaya dengan iklan yang tersiar di laman sosial Facebook miliknya, 11 Mei lalu.

“Lelaki berusia 56 tahun itu telah tertarik dengan tawaran penjualan kereta Honda Jazz pada harga RM21,600.

“Mangsa telah membuat 17 kali transaksi kepada tiga akaun berbeza berjumlah RM95,200 selepas suspek memberikan pelbagai alasan untuk menjual kenderaan tersebut. 

“Sumber hasil kewangan mangsa adalah daripada tuntutan insurans kemalangan dan simpanan milik mangsa,” katanya.

Kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Yahaya  menasihatkan orang ramai berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan. 

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my  terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya