Dera ibu sampai mati: Pasangan suami isteri jarang bersosial

Dera ibu sampai mati: Jiran dakwa pasangan suami isteri jarang bersosial

SEORANG warga emas yang menghidap strok maut selepas dipercayai dipukul oleh anak dan menantunya dalam kejadian di Taman Tambun Tulang, Arau, Perlis, semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Suami isteri yang disyaki memukul dan mendera ibu mereka sehingga menyebabkan kematian di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang di sini semalam didakwa jarang bergaul dengan jiran di kawasan terbabit.

Menurut seorang jiran yang enggan dikenali berkata, pasangan suami isteri tersebut menyewa di taman berkenaan sejak lebih setahun lalu dan menetap di sana bersama tiga anak mereka serta warga emas tersebut yang uzur serta mengalami penyakit strok itu.

Katanya, suspek lelaki itu dikatakan sedang menyambung pelajaran di salah sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) manakala suspek wanita berkenaan pula merupakan seorang suri rumah.

“Saya difahamkan si suami berasal dari Johor dan isterinya pula dari Terengganu dan kami memang tidak tahu apa pekerjaan si suami kerana dia dikatakan sedang menyambung pengajian sebuah IPT di sini,” katanya ketika ditemui di taman berkenaan, semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang warga emas yang menghidap strok maut selepas dipercayai dipukul oleh anak dan menantunya di sebuah kediaman di Taman Cempaka Putih di sini.

Dalam kejadian sekitar pukul 4.30 pagi itu, mangsa Rashidah Chong, 74, dipercayai dipukul pada bahagian muka dan kepala.

Ahmad Mohsin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 5.30 pagi menerusi pegawai perubatan dari Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang memaklumkan terdapat pesakit meninggal dunia disyaki dipukul.

Kata Ahmad Mohsin, kejadian berpunca daripada pertengkaran di mana anak perempuan mangsa dikatakan tidak tahan dan terlampau tertekan dengan ragam warga emas yang mengidap strok pada bahagian badan sebelah kiri itu.

Ujar beliau, siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan anak perempuan mangsa berusia 34 tahun turut mengaku berlaku pertengkaran selepas tidak tahan dengan kerenah warga emas itu dan bertindak memukulnya dengan menggunakan tangan di bahagian muka dan kepala.

“Menantu mangsa juga disyaki terlibat dalam kejadian itu berdasarkan kepada keterangan yang meragukan.
Kedua-dua suspek mengaku tidak bersalah membunuh warga emas itu dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, tambah jiran berkenaan, penduduk setempat juga terkejut apabila pekarangan rumah suspek didatangi anggota polis pada hari kejadian dan tidak mengetahui secara lanjut mengenai kes tersebut.

Katanya, jiran dan penduduk lain sebelum ini juga tidak mendengar sebarang pergelutan daripada rumah berkenaan.

“Kami juga terkejut apabila polis bertanyakan maklumat mengenai kejadian itu kerana mereka juga jarang bergaul dengan penduduk lain,” katanya.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri berkenaan direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Khamis depan. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya