KUALA LUMPUR: Kerjasama UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) serta rakan gabungan parti yang lain.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan, dakwaan dimainkan hari ini termasuklah UMNO bekerjasama dengan DAP bukan sahaja tidak tepat, malah, amat jauh tersasar sama sekali kerana jumlah kerusi antara kedua-dua parti berkenaan tidak berupaya membentuk Kerajaan Perpaduan.
“DAP mempunyai 40 kerusi Parlimen manakala UMNO dan rakan-rakan komponen BN mempunyai 30… 30 dicampur dengan 40 tidak boleh wujud kerajaan ‘unity’. Sebenarnya, kita buat keputusan untuk bersama-sama di dalam Kerajaan Perpaduan hari ini bukan kerana DAP, tetapi kerana kita mahu memberikan kestabilan politik kepada negara.
“Kita belajar daripada apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 apabila negara mempunyai tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal, huru-hara semuanya. Jadi, sebab itu kita buat keputusan bukan kepentingan kita semata-mata secara peribadi tetapi demi kepentingan negara.
“Kalau sesebuah negara itu tidak stabil susah, apabila tidak ada parti dalam negara ini yang mempunyai kuasa mutlak atau kemenangan mutlak, takkan kita nak biarkan negara jadi sebelum ini. Takkan kita mahu ‘repeat’ balik apa yang berlaku pada PRU-14, kita ulang balik PRU-15,” katanya seperti memetik laporan UMNO Online.
Beliau berkata demikian pada sesi Townhall Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di sini, semalam.
Turut serta menjadi ahli panel dua lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. -UTUSAN










