JOHOR BAHRU: Buruh binaan warganegara Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM1,000 kepada pembantu penguat kuasa, Februari lalu.
Tertuduh, Shahin Alam, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Shahin didakwa memberi suapan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas sebuah premis kerana melanggar syarat lesen perniagaan di Kawasan Perindustrian SILC, Nusajaya Square, Iskandar Puteri, kira-kira pukul 6 petang, 15 Februari lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan wang atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam, R. Jegathisvaran.
Pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali.
Jegathisvaran memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana lelaki itu hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan merupakan pencari nafkah tunggal keluarga dengan seorang anak yang berada di Bangladesh.
Mahkamah kemudian menetapkan RM10,000 sebagai bayaran ikat jamin dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali.
Mahkamah turut menetapkan 20 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen. – UTUSAN