BN Negeri Sembilan yakin keputusan mengenai minta dua kerusi tidak akan mengecewakan - Utusan Malaysia

BN Negeri Sembilan yakin keputusan mengenai minta dua kerusi tidak akan mengecewakan

JALALUDDIN Alias (empat dari kiri) ketika melancarkan Jentera PRN Negeri Sembilan N31 DUN Bagan Pinang di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Keputusan yang akan dibuat oleh pihak jawatankuasa Majlis Presiden dalam masa terdekat mengenai permintaan dua kerusi tambahan untuk ditandingi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan kelak diyakini tidak akan mengecewakan kedua-dua belah pihak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, selepas mesyuarat antara pemimpin Kerajaan Perpaduan berhubung rundingan akhir pembahagian kerusi untuk PRN enam negeri diadakan kelmarin, beliau yakin permintaan itu akan mendapat pertimbangan sewajarnya pihak Majlis Presiden.

“Ya, saya juga ada dalam mesyuarat itu, dan kami telah putuskan bahawa permohonan untuk BN tambah dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini akan diserahkan kepada Majlis Presiden untuk buat keputusan akhir yang dijangka dalam masa terdekat, oleh itu kita tunggu keputusan itu.

“Saya sudah sebut sebelum ini, BN minta supaya dipertimbangkan dua kerusi tambahan untuk BN, jadi Pakatan Harapan (PH) dan BN sama-sama bertanding 18 kerusi, rasional dan justifikasinya juga sudah saya sebut. Saya fikir wajar ia diberikan perhatian supaya BN dan PH masuk ke gelanggang pilihan raya dengan jumlah kerusi yang sama.

“Saya yakin PH akan berikan pertimbangan dan keputusan yang terbaik. Kita tunggu keputusan Majlis Presiden, perbincangan berjalan dengan baik, pandangan sudah diberi, mereka (PH) juga sudah berikan pandangan dan saya yakin keputusan dibuat oleh Majlis Presiden nanti tidak akan mengecewakan sama ada BN atau PH, saya percaya itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Jelajah DUN dan Pelancaran Jentera PRN Negeri Sembilan N31 DUN Bagan Pinang di sini hari ini.

Sebelum ini Jalaluddin meminta tambahan dua kerusi untuk ditandingi daripada 16 buah kerusi sedia ada dimenangi BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu. Selepas pilihan raya umum itu, PH memenangi sebanyak 20 kerusi daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN di negeri ini dan selebihnya dimenangi oleh BN.

Sekiranya ia mengambil kira status quo, PH akan bertanding di 20 buah kerusi manakala 16 kerusi buat BN.

Terdahulu, dalam satu majlis di Rembau, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata,  pembahagian kerusi antara BN dan PH bagi menghadapi PRN di enam negeri tidak lama lagi dianggarkan sudah selesai 90 peratus.

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat satu ke dua kerusi di kesemua negeri yang masih belum dapat diputuskan dan memerlukan keputusan membabitkan rundingan Presiden parti.

“Ia di peringkat yang menggalakkan, hampir 90 peratus, cuma satu dua kerusi yang akan kita rujuk kepada Jawatankuasa Majlis Presiden. Biarlah presiden-presiden parti yang berunding. Kami di peringkat jawatankuasa sudah berunding tetapi ada satu dua kerusi yang masih bertindih.

“Bila bertindih semua nak kerusi, itu sebab semua rasa masing-masing ingat semua menang. BN pun nak, PH pun nak, jadi kita pulangkan kepada Majlis Presiden untuk menentukan, untuk melihat dari segi kaca mata yang lebih luas lagi,” katanya.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN menambah, perihal dua kerusi di Negeri Sembilan yang diminta oleh BN juga dibawa kepada Majlis Presiden untuk dimuktamadkan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN