'Bergadai nyawa untuk keluar simpang'

‘Bergadai nyawa untuk keluar simpang’

KESESAKAN trafik di persimpangan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka kerana ketiadaan lampu isyarat. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Ketiadaan lampu isyarat di persimpangan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh di sini menyebabkan para penduduk sekitar Durian Tunggal terpaksa menunggu antara lima belas minit sehingga setengah jam untuk melintas, terutama pada waktu puncak dan cuti umum.

Lebih parah, mereka juga terpaksa mengambil risiko dengan memperjudikan keselamatan diri semasa melintasi simpang berkenaan, kerana jalan utama empat lorong itu sentiasa dilalui pelbagai kenderaan termasuk lori dan treler dari Jalan Tun Abdul Razak dan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) yang masuk dan keluar Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Ketika ditemui Utusan Malaysia, seorang penduduk, Mohd. Syaiful Johari, 31, berkata, lampu isyarat sangat diperlukan bagi memudahkan pergerakan orang ramai dan ketiadaan infrastruktur tersebut turut menyebabkan berlaku kesesakan trafik.

“Jalan Durian Tunggal memendekkan perjalanan ke Ayer Keroh dan kawasan sekitarnya. Bagaimanapun, keadaan Jalan Tun Abdul Razak yang sentiasa sibuk ditambah pula kenderaan berat seperti lori dan bas yang bergerak laju menyukarkan orang ramai untuk melintasinya.

“Walaupun sukar dan bahaya, ramai yang memilih jalan tersebut kerana lebih dekat dan menjimatkan masa kira-kira 20 minit. Sekiranya tidak melalui jalan itu, penduduk terpaksa menggunakan Jalan Tangkak-Durian Tunggal yang lebih jauh.

“Lampu isyarat di kawasan itu menjadi satu keperluan untuk penduduk di sini supaya keselamatan mereka lebih terjamin. Saya harap kerajaan negeri dapat mempertimbangkannya,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, berlaku kesesakan pada waktu puncak yang berpunca daripada kesukaran orang ramai untuk melintas disebabkan pergerakan kenderaan yang laju di kedua-dua arah.

Selain itu, sikap segelintir pemandu yang tidak sabar bertindak memotong barisan berpotensi membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Wahab Minhat, 66, menggesa keperluan menyediakan lampu isyarat tersebut dipertimbangkan dengan sewajarnya.

Menurutnya, pembinaan jalan alternatif berhampiran Taman Murai Jaya yang dijangka siap pada Julai ini akan menambah lagi aliran trafik.

“Projek ini bertujuan untuk menyurai trafik di kawasan pekan. Masalah ini mungkin akan selesai tetapi kesesakan pula semakin parah di susur keluar itu kerana pertambahan kenderaan.

“Penduduk Durian Tunggal semakin ramai susulan banyak projek-projek perumahan baharu yang sedang berjalan. Saya berharap masalah yang telah lama membelenggu penduduk ini dipandang serius dan diselesaikan segera,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN