Benarkan individu tanpa warganegara buka akaun bank, miliki lesen kenderaan  - Utusan Malaysia

Benarkan individu tanpa warganegara buka akaun bank, miliki lesen kenderaan 

perlembagaan
Farah Nini Dasuki cadang kerajaan memberi dokumen sementara kepada anak-anak tanpa taraf kewarganegaraan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Madani disaran menyelesaikan isu kewarganegaraan membabitkan individu yang dilahir daripada ibu atau bapa warga Malaysia di negara ini bagi mengelakkan masalah lebih besar dihadapi mereka dan ahli keluarga masing-masing.

Antara masalah lebih serius jika isu tersebut dibiarkan ialah Malaysia akan berdepan lebih ramai komuniti tanpa kewarganegaraan, menjejaskan kesihatan mental mereka dan seterusnya mencetuskan masalah sosial dalam kalangan komuniti tersebut.

Seorang bapa kepada anak tanpa kewarganegaraan, Wilson Lim berkata, beliau memohon kerajaan mempertimbangkan alternatif supaya kerajaan memberi kelonggaran untuk anak-anak tanpa kewarganegaraan dalam kalangan B40 mendapat beberapa kemudahan seperti anak-anak lain.

Kata beliau, antaranya kumpulan tersebut dibenarkan mengambil lesen kenderaan, diberi pinjaman buku teks sekolah, membuka akaun bank dan belajar di universiti tempatan mengikut kelayakan.

Wilson berkata, ini kerana anak-anak tanpa kewarganegaraan lebih-lebih lagi dalam kalangan keluarga B40 berdepan banyak kesukaran sekali gus memberi tekanan emosi kepada mereka yang sepanjang hidup menghabiskan masa di negara ini tetapi berdepan pelbagai cabaran.

“Oleh itu, saya mewakili keluarga anak-anak tanpa kewarganegaraan berharap kerajaan Madani akan melakukan sesuatu untuk mengakhiri `penderitaan’ anak-anak dan juga individu dewasa yang hidup tanpa ada kewarganegaraan,” kata Wilson ketika hadir pada majlis penyerahan memorandum anak-anak tanpa warganegara kepada kerajaan oleh Stateless Malaysians Citizen Movement di sini Sabtu lalu.

Memorandum tersebut diterima Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Neow Choo Seong bagi mewakili kerajaan.

Sementara itu, Choo Seong menerusi Facebook berkata, isu-isu berkaitan ketiadaan kewarganegaraan sentiasa dekat di hati beliau dan berjanji akan mengambil serius menyelesaikan isu tersebut.

BARISAN

Malah, menurut beliau, MCA sentiasa berada di barisan hadapan dalam hal hak kewarganegaraan atau isu tanpa kerakyatan.

“Kumpulan kanak-kanak/dewasa dilahirkan oleh ibu atau bapa Malaysia dan dibesarkan di Malaysia sebagai orang tanpa kerakyatan berdepan pelabagi masalah untuk meneruskan kehidupan.

“Tidak seperti rakyat Malaysia biasa yang lain, mereka tidak mempunyai akses kepada pendidikan percuma, penjagaan kesihatan, perlindungan sosial, pekerjaan, akses kepada perkhidmatan perbankan dan lain-lain,” kata beliau.

Justeru, Choo Seong berkata, hak kewarganegaraan buat individu tidak boleh dinafikan jika masalahnya berpunca daripada ibu atau bapa kandung mereka.

“Isu tiada kewarganegaraan biasanya berkaitan pendaftaran perkahwinan lewat dan proses pengambilan anak yang tidak ikut peraturan oleh ibu bapa atau ibu bapa angkat.

“Kesilapan teknikal seperti ini telah menjadikan hidup mereka seperti mimpi ngeri,” kata beliau.

Oleh itu, Choo Seong berharap, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk melihat isu tersebut dengan segera dan menanganinya dengan serius. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya