SEREMBAN: Bapa kepada Laskar Udara I Mohd. Iqmal Masdi yang meninggal dunia dalam insiden letupan bom semasa latihan di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin reda dengan kejadian menimpa anaknya.
Masdi Md. Isa, 57, berkata lagi, walaupun kejadian menimpa anak ketiganya itu sesuatu yang menyedihkan dirinya dan keluarga namun beliau berbangga pemergiaan Mohd. Iqmal itu adalah demi tugasnya untuk negara.
“Saya terima dan pasrah dengan takdir ini, saya yakin ada hikmahnya. Saya bangga dengan anak saya walaupun dia bukan pejuang tetapi dia telah terkoban dalam latihan dan itu bukanlah satu kesalahan.
“Memangla sebagai seorang bapa apabila dapat panggilan mengatakan anak saya sudah tiada, saya terkejut, tetapi saya tabahkan hati, walaupun anak saya masih muda, saya akur dan pasrah.
“Dia bukan pergi suka-suka, dia pejuang, dia diamanahkan supaya buat benda itu dan dia buat. Saya terima hakikat anak saya terkorban dalam latihan dan tidak menyalahkan mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Rawa, Lenggeng, di sini, hari ini.
Tambahnya, Mohd. Iqmal yang merupakan anak ketiga daripada enam orang adik beradik itu memang bercita-cita sejak kecil untuk menyertai badan beruniform dan jelas boleh dilihat selepas tamat persekolahan apabila anaknya itu mula memohon untuk menjadi seorang anggota polis.
“Walaupun tidak berjaya, anak saya tidak putus asa dan tetap mahu berkhidmat buat negara dan cuba memohon untuk menyertai TUDM. Dia sudah pun menyertai TUDM sejak dua tahun lalu dan sedang menjalani kursus selama empat bulan sebelum terkorban,” katanya lagi.
Katanya, beberapa hari sebelum kejadian semalam, anaknya ada mengirimkan video dan memang terlihat wajah sayunya.
“Kali terakhir saya jumpa dia pada Ahad lalu di pintu pagar rumah. Sejak dia menyertai TUDM, dia hanya berkongsikan keseronokkan serta rasa berbangga dapat berkhidmat buat negara,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku lebih kurang pukul 12.10 tengah hari semalam itu, seorang penuntut Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (Instar), Pangkalan Udara Sendayan di sini, Laskar Udara I Mohd. Iqmal Masdi, 22, meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah akibat letupan bom lempar semasa proses latihan sedang dilaksanakan.
Seorang lagi anggota TUDM, Allahyarham Koperal Udara Syuib Bidin, 33, yang merupakan jurulatih di institut berkenaan, meninggal dunia pada pukul 5.45 petang semalam di Hospital Segamat, Johor ketika diberikan rawatan akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Seorang lagi jurulatih yang dilaporkan mengalami cedera dalam kejadian tersebut iaitu Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, kini masih menerima rawatan di hospital sama dan dalam pemantauan rapi serta dilaporkan dalam keadaan stabil.
Markas Tentera Udara menerusi kenyataan Kejadian berlaku ketika mereka menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPP Kls 1) Siri 78/23 di Tapak Latihan Grenade Asas, Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin.
Jenazah Mohd Iqmal akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rawa Hulu, Lenggeng, Negeri Sembilan selepas proses post mortem dijalankan pada pukul 11 pagi di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini.
Seterusnya jenazah Allahyarham akan diuruskan oleh pihak Pangkalan Udara Sendayan dan dibawa ke rumah keluarga Allahyarham di Kampung Rawa, Lenggeng sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rawa Hulu, Lenggeng di sini.
Jenazah Allahyarham Syuib pula selesai menjalani post mortem lebih kurang pukul 6 pagi tadi di Hospital Segamat, Johor dan dibawa ke kampung isterinya di Kemaman, Terengganu.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Jamek Binjai untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapur.-UTUSAN.