Anak bekas menteri cuti sakit, kes seleweng minyak masak bersubsidi disebut semula 12 Julai - Utusan Malaysia

Anak bekas menteri cuti sakit, kes seleweng minyak masak bersubsidi disebut semula 12 Julai

PENJAMIN kepada Muhammad Faisal (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban membawa sijil cuti sakit anak bekas menteri itu yang menghadapi pertuduhan berkaitan penyelewengan minyak masak bersubsidi.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen Seremban hari ini menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkaitan penyelewengan minyak masak bersubsidi yang turut melibatkan seorang anak bekas menteri.

Ia selepas orang kena saman (OKS), Muhammad Faisal Hamzah, 39, yang berhadapan sembilan pertuduhan, tidak hadir ke mahkamah selepas mendapat sijil cuti sakit.

Muhammad Faisal diwakili peguam, Nasuha Badrul Din yang turut mengemukakan sijil cuti sakit berkenaan yang dibawa oleh pihak penjamin. 

Hakim, Mazni Nawi kemudiannya menetapkan semula tarikh sebutan semula kes pada 12 Julai ini bagi tujuan memfailkan representasi dan jaminan dilanjutkan.

Muhammad Faisal pada 5 April lalu bersama kenalannya Azizul Abdul Halim, 55, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Berdasarkan pertuduhan sebelum ini, kedua-dua mereka yang pada ketika itu merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd., didapati memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen/invois penjualan minyak masak kepada dua kedai runcit di sini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri kira-kira pukul 5 petang pada 12 Ogos tahun 2022.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 22(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 hendaklah disifatkan telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak di mana kedua-duanya merupakan pengarah syarikat berkenaan juga didakwa memiliki barang kawalan berjadual tersebut melebihi had 50 metrik tan.

Mengikut Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ia merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan dilakukan di premis syarikat berkenaan yang terletak di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang pada kira-kira pukul 11.15 malam pada 11 Ogos tahun lalu.

Syarikat berkenaan juga didapati memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen/invois penjualan minyak masak kepada dua kedai dan kesalahan turut dilakukan pada 12 Ogos tahun lalu di Pejabat KPDN di Seremban 2 di sini.

Mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM40,000 kepada kedua-dua tertuduh.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN