ARAU: Seorang penoreh getah, Abdullah Ismail,54, sebak kerana terlalu gembira selepas anaknya memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Nur Alia Maisarah Abdullah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka membuat kejutan dengan datang sendiri ke kebun getah bagi menunjukkan keputusan semua A kepada bapanya yang sedang menoreh getah.
Dengan keputusan tersebut membuktikan kesusahan hidup bukan penghalang bagi Nur Alia untuk cemerlang dalam pelajaran sekali gus menaikkan nama sekolahnya yang terletak di pinggir bandar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nur Alia berkata, meskipun hidupnya serba kekurangan namun perkara itu tidak menganggu tumpuannya untuk berjaya.
Katanya, pendapatan bapanya sekitar RM900 sebulan dan dengan duit sebanyak itu, bapanya sentiasa menenuhi keperluan terutamanya membabitkan pelajaran.
Cerita Nur Alia, jika hendak membeli sesuatu keperluan, bapa akan berusaha mencari wang termasuk melakukan pelbagai lagi kerja kampung lain bagi menambah pendapatan.
Malah anak kelima daripada tujuh beradik itu memberitahu, kehidupan mereka yang serba kekurangan itu menjadi motivasi buatnya untuk terus berusaha dan berjaya dalam pelajaran seterusnya membantu keluarga.
“Sebenarnya, saya juga tidak jangka mendapat semua 9A kerana keputusan-keputusan sebelum ini kurang baik. Namun saya tidak berputus ada termasuk berjaya memperolehi A dalam Matematik yang sebelum ini, saya gagal dalam subjek itu,” katanya.- UTUSAN










