Aidiladha lebih meriah di Kelantan

Aidiladha lebih meriah di Kelantan

KENDERAAN mula memenuhi kawasan pekarangan di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARULZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hari Raya Aidiladha atau korban disambut penuh meriah oleh penduduk di negeri sejak dahulu lagi berbanding Aidilfitri.

Mana tidaknya, sepanjang empat hari perayaan itu boleh dikatakan setiap hari ada sahaja penduduk melaksanakan ibadah korban yang merupakan amalan dituntut oleh Islam bagi golongan berkemampuan.

Menariknya, ibadah korban itu dapat dilihat apabila penduduk di segenap pelosok kampung di negeri ini melaksanakan ibadah berkenaan secara berkeluarga atau berkumpulan.

Situasi itu berbeza dengan negeri-negeri di luar Kelantan apabila ia hanya disambut pada hari pertama dan kedua.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak kelahiran Johor Hisham Lokman yang sudah menetap lebih 20 tahun di negeri mengakui, sambutan Aidiladha di Kelantan lebih meriah dan mempunyai keunikan tersendiri.

“Keunikan itu dapat dilihat apabila lokasi untuk ibadah tersebut boleh dilangsungkan di kawasan lapang berhampiran sawah padi, bawah rimbunan pokok kelapa dan sebagainya asalnya ia teduh.

“Selain itu, kebanyakan ibadah ini dilakukan bersama keluarga atau komuniti setempat. Berbeza di negeri lain apabila ibadah itu berlangsung di masjid dan sebagainya. Agihan daging pula ikut nombor,” katanya.

Hisham memberitahu, di Kelantan individu yang melaksanakan ibadah tersebut akan mengagihkan sendiri daging kepada golongan memerlukan.

Katanya, selain itu sebahagian daging itu akan diambil dan dimasak untuk dimakan beramai-ramai.

“Antara menu popular daging goreng, daging singgang dan banyak lagi yang pastinya membuat kita semua kecur air liur.

“Daging korban lebih manis dan rasanya lebih enak berbanding yang dibeli pada hari biasa. Itulah nikmat yang tidak terhitung nilainya,” ujarnya.

Seorang perantau dari Petaling Jaya, Marhaini Mat Zawawi, 33, berkata, Aidiladha disambut dengan penuh kemeriahan di negeri ini memandangkan majoriti penduduknya beragama Islam.

Katanya, biasanya selepas solat sunat Aidiladha, ibadah korban akan bermula seawal pukul 9 pagi di masjid, surau, kawasan lapang dan pekarangan rumah persendirian.

“Di Kelantan, suasana di pagi Hari Raya Aidiladha cukup meriah kerana semua sanak-saudara akan berkumpul untuk bersama-sama menyaksikan ibadah korban.

“Lebih istimewa, kami akan bersama-sama membantu melapah daging korban serta mengagihkannya. Selain itu, daging korban juga akan dimasak untuk jamuan makan kepada sanak saudara serta jiran tetangga,”katanya.

Seorang lagi perantau, Riduan Muhamad,32, berkata, sambutan Aidiladha di negeri ini cukup meriah kerana perantau akan pulang beraya dan berzakat.

“Sambutan Aidiladha di Kelantan lebih meriah kerana ramai yang menjayakan ibadat korban dan bersama-sama melapah daging korban.

“Selain itu, hasil korban juga akan diagihkan serta mengadakan jamuan bagi mengeratkan ikatan persaudaraan,”katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN