Ahli UMNO perlu berlapang dada - Ahmad - Utusan Malaysia

Ahli UMNO perlu berlapang dada – Ahmad

AHMAD MASLAN (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Veteran UMNO Johor di Bangunan UMNO Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli UMNO diminta berlapang dada dengan kehadiran pemimpin parti lain dalam kerajaan perpaduan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebagai menunjukkan solidariti untuk mendepani perang politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama presiden parti lain dalam kerajaan perpaduan pada PAU minggu depan juga menunjukkan kesungguhan parti menghadapi PRN berkenaan.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor mengingatkan ahli parti di peringkat akar umbi supaya tidak terpengaruh dengan tindakan segelintir ahli UMNO yang kononnya mahu memboikot perhimpunan itu.

“Dalam dinamika politik baharu ini, ia memerlukan keterbukaan minda serta kelapangan dada dan hati untuk bersama. Mereka juga perlu memahami konsep parti demokrasi yang berlaku setelah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

“Ahli parti perlu berlapang dada dengan kehadiran Anwar, lebih-lebih lagi kita seangkatan dan perlu berdepan perang politik yang lebih besar, iaitu PRN di enam negeri tidak lama lagi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Veteran UMNO Johor di Bangunan UMNO Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Terdahulu, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan tidak berminat menghadiri PAU 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur bermula 7 Jun ini dan tidak akan menghadiri sebarang aktiviti parti selagi diterajui oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu sedia menjemput bekas ahli yang dipecat, namun hanya perwakilan dibenarkan memasuki Dewan Merdeka WTC.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Timbalan Menteri Kewangan berharap supaya PAU yang berlangsung mulai 7 hingga 10 Jun ini dijadikan permulaan untuk membuka gelanggang kempen PRN di enam negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya