Ah long: Dua rakan mengaku salah ugut pekerja hotel - Utusan Malaysia

Ah long: Dua rakan mengaku salah ugut pekerja hotel

DUA lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas tuduhan mengugut seorang wanita yang merupakan pekerja sebuah hotel dalam kejadian di Telok Kemang, Port Dickson minggu lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Dua orang rakan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson di sini hari ini, atas tuduhan mengugut seorang wanita yang merupakan pekerja sebuah hotel dalam kejadian di Telok Kemang, minggu lalu.

Tertuduh, Choo Wilson, 21, dan Yusuf Awang, 33, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V. Vanita.

Berdasarkan pertuduhan bersama, pada 14 Jun lalu, kira-kira pukul 5.50 petang di hotel berkenaan, kedua-dua tertuduh telah melakukan ugutan jenayah terhadap wanita berusia 31 tahun itu dengan mahu mengambil barang-barang milik hotel tersebut jika wanita berkenaan tidak membayar wang

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pada 14 Jun kira-kira pukul 3 petang, pengadu telah telah menerima panggilan daripada pekerjanya yang memaklumkan bahawa terdapat dua lelaki datang ke hotel berkenaan bagi mencari pengarah.

Dua lelaki berkenaan memperkenalkan diri sebagai pemungut hutang dari sebuah syarikat pinjaman wang dan tempat penginapan berkenaan telah berhutang dengan syarikat itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Althea Suraya Rahmat.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 kepada setiap tertuduh dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran berkenaan akan dikenakan penjara enam bulan.

Kedua-dua tertuduh telah menjelaskan bayaran denda tersebut.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN