600 juta kilogram plastik cemari laut, sungai

600 juta kilogram plastik cemari laut, sungai

SEORANG pekerja kontrak bahagian pembersihan sungai sedang mengaut sisa sampah yang terperangkap di log boom Sungai Pinang, Georgetown di sini, tahun lalu. -UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kajian Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mendapati hampir 600 juta daripada purata 700 juta kilogram plastik setahun yang digunakan rakyat negara ini mencemarkan sungai dan lautan sekali gus memberi kesan buruk kepada hidupan marin serta keseluruhan rantaian makanan.

Partikel plastik bukan sahaja membawa bahaya secara langsung apabila dimakan hidupan di lautan, malah, bahan kimia yang terdapat akan menyerap ke dalam tisu haiwan terbabit.

Ia memberi ancaman besar kepada kelangsungan hidupan marin dan kesihatan manusia apabila memakan sumber makanan laut yang dicemari mikroplastik dan nano plastik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, isu pencemaran plastik di lautan semakin kritikal dan perlu segera diatasi kerana ia membawa kemudaratan kepada hidupan laut dan juga manusia.

“Plastik bukan sahaja bahaya kepada hidupan laut seperti penyu, anjing laut dan burung laut yang mencatatkan kematian tinggi akibat termakan sumber plastik, malah plastik juga bahaya kepada ikan yang merupakan sumber protein utama dimakan oleh manusia pada setiap hari.

“Bahan kimia digunakan dalam plastik seperti Phthalates, Bisphenol A (BPA) atau Polybrominated merupakan sejenis toksik yang banyak ditemukan dalam ikan serta mamalia laut yang berupaya mengakibatkan kesan kronik ke atas kesihatan manusia termasuk gangguan endokrin dan proses mutasi yang mengakibatkan kanser,” katanya di sini semalam.

Mohd. Firdaus berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna itu mendapati Malaysia merupakan antara penyumbang yang tinggi terhadap pencemaran plastik di Asia Tenggara.

Ini kerana katanya, kajian YPNM mendapati kesedaran pengguna berkenaan pencemaran plastik adalah kurang berdasarkan penggunaan bahan itu yang banyak dan pembakaran terbuka yang kerap dilakukan rakyat Malaysia.

“Di samping itu, kedai-kedai makan menggunakan pinggan dan cawan plastik pakai buang bagi mengurangkan kos mencuci jelas memberikan impak yang cukup besar terhadap pencemaran.

“Jika 33 juta rakyat Malaysia menggunakan penyedut minuman plastik sehari, maka akan wujud 33 juta penyedut minuman plastik di alam sekitar kita. Jelas bahawa kita perlu mencari satu alternatif baharu bagi menangani isu ini,” katanya.

Jadi beliau berkata, YPNM mencadangkan supaya kerajaan mengharamkan penggunaan penyedut minuman dan cawan plastik pakai buang bagi mendidik rakyat Malaysia berkenaan masalah pencemaran bahan tersebut.

“Kerajaan perlu menggunakan undang-undang untuk mendidik rakyat berkenaan isu ini. Cadangan ini juga dapat membantu Malaysia untuk membangun secara mapan selari dengan objektif rakyat Madani.

“Bukan itu sahaja, Malaysia juga dapat mempraktikkan pengurusan sisa yang lebih efisien kerana sudah wujud pengurangan penggunaan plastik di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, YPNM juga mencadangkan supaya semua pihak menggantikan plastik beg dengan beg kertas yang jelas lebih mesra alam.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan negara maju, jelas dapat dilihat perbezaan mentaliti rakyat antara negara terbabit dan Malaysia terhadap penggunaan plastik.

“Kerajaan juga perlu menitikberatkan soal pendidikan kepenggunaan tentang mudarat penggunaan plastik dan kempen-kempen menyeluruh serta menguatkuasakan undang-undang yang lebih serius untuk mengubah sikap pengguna dalam isu penggunaan plastik.

“YPNM juga mencadangkan supaya penggunaan cawan pinggan plastik pakai buang digantikan dengan cawan dan pinggan pakai buang yang diperbuat daripada sabut tandan kelapa sawit yang lebih mesra alam, seperti mana negara China yang mengimport fiber tandan sawit untuk dibuat kertas dan pelbagai penggunaanya,” katanya.

Beliau berkata, menerusi cadangan dikemukakan itu, YPNM berharap ia dapat dilaksanakan supaya wujud perubahan sikap rakyat negara ini terhadap penggunaan plastik.

“Hal ini bagi menjamin kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang yang mana jelas kita memainkan peranan cukup penting untuk menangani isu ini,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya