PETALING JAYA: Penyebaran kandungan lucah antara aduan yang banyak diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggunakan aplikasi Telegram sejak 2020 hingga Mei lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, SKMM berkata, daripada 4,716 aduan dalam tempoh tiga tahun itu, sebanyak 727 aduan melibatkan kandungan lucah.
Katanya, kesemua aduan yang diterima telah diambil tindakan termasuk merujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan lanjut.
“Dalam tempoh terbabit, sebanyak 138 saluran aplikasi tersebut yang didapati memuat naik kandungan berunsur lucah telah diturunkan.
“Bagi tempoh yang sama juga, sejumlah 184 kertas siasatan berkaitan kandungan lucah melalui pelbagai aplikasi media sosial termasuk Telegram. Ia membabitkan 50 kes pada 2020, 29 kes (2021), 78 kes (2022) dan 27 kes dalam tempoh lima bulan tahun ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut SKMM, daripada jumlah keseluruhan kes yang disiasat, sebanyak 14 kes telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman dengan nilai keseluruhan denda berjumlah RM55,500.
“Lima kes telah diberikan Notis Amaran dan 131 kes lagi diputuskan tiada tindakan lanjut (NFA) manakala 34 kes masih dalam siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, SKMM mengingatkan bahawa perbuatan menghantar atau memuat naik kandungan lucah serta penjualan kandungan lucah di laman media sosial adalah satu kesalahan.
Jelasnya, mana-mana individu boleh dikenakan tindakan masing-masing di bawah Seksyen 233 (1)(a) dan Seksyen 233 (2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
“Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Menurutnya, pengguna dinasihatkan membantu pihak berkuasa dengan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti SKMM dan PDRM sekiranya terjumpa kandungan-kandungan lucah di media sosial.
Jelasnya, mereka juga boleh membuat laporan penyalahgunaan secara terus kepada pihak penyedia platform media sosial yang terlibat untuk perhatian dan penelitian lanjut.
“Langkah pantas itu akan membolehkan tindakan susulan dapat diambil bagi melindungi keselamatan pengguna. Selain itu, program kesedaran di seluruh negara turut dilakukan oleh pihak SKMM antaranya program advokasi seperti Kempen Klik Dengan Bijak telah diperkenalkan pada tahun 2012 agar tidak menyalahgunakan media sosial,” katanya.
Pada 3 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan satu kumpulan platform pemesejan dikesan menjual lebih 2,400 video lucah membabitkan gadis Melayu dan dilanggan lebih 1,600 orang dipercayai lelaki warganegara ini. – UTUSAN








