3,000 pelajar universiti tukar kursus - Utusan Malaysia

3,000 pelajar universiti tukar kursus

Info kemasukan pelajar ke universiti-universiti awam pada 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 3,000 atau lima peratus daripada 60,000 penuntut jurusan kritikal seperti sains, matematik, komputer dan kejuruteraan di universiti awam menukar bidang pengajian kerana mereka tidak mampu menguasai kursus-kursus tersebut.

Perkara itu berlaku setiap tahun dan pelajar berkenaan akan memilih memasuki bidang sains sosial, sastera dan kemanusiaan mahupun komunikasi untuk memastikan mereka boleh menamatkan pengajian.

Jumlah tersebut mungkin angka terpencil, namun ia boleh memberi kesan jika kes- kes itu berterusan kera­na kursus-kursus kritikal terutamanya yang bersifat teknikal penting untuk pertumbuhan industri negara.

Bercakap kepada Utusan Ma­lay­sia, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, pihak­nya tidak menolak kebanyakan mereka yang ber­buat demikian adalah disebabkan tersalah pilih kursus terutamanya tidak memahami program tersebut.

Menurut beliau, perkara itu berlaku mungkin kerana mereka tidak diberi pendedahan tentang hala tuju kursus dan subjek yang akan dipelajari.

KURSUS

Pelajar yang memohon menukar kursus pengajian selepas mereka tidak mampu mengikuti kursus yang terlalu teknikal. – Gambar hiasan

“Pelajar yang mohon kursus kritikal boleh menukar kursus mengikut kepada peraturan dan kekosongan. Kalau lihat trend universiti, kursus yang sentiasa ada kekosongan kebanyakan seperti sains sosial, kesenian dan komunikasi di­sebabkan kurang minat pelajar.

“Jadi, pilihan yang mereka ada agak terhad sama ada tukar kepada kursus yang ada kekosongan atau mula dari awal dengan isi semula permohonan ke universiti.

“Tetapi, jika mahu menggalakkan pun tidak berapa kena sebab kursus kritikal itu penting untuk industri dan negara.

“Sekiranya ia berkurang, boleh menyebabkan berlaku kekurangan tenaga mahir ke­rana setiap tahun sudah tentu ada jumlah sasaran diperlukan,” katanya ketika dihubu­ngi, semalam.
Beliau mengulas isu pelajar yang tidak mampu meneruskan pengajian dan terpaksa menukar kursus kritikal ber­kenaan kepada kursus-kursus yang lain.

Situasi itu juga menyebabkan kursus-kursus sains sosial, kemanusiaan dan komunikasi ibarat ‘kursus longgokan’ atau ‘tempat buangan’ menerima mereka yang ‘gagal’ dalam kursus kritikal itu.

Menurut statistik Kementerian Pengajian Tinggi, seramai 181,901 pelajar dicatatkan bagi kemasukan di semua universiti awam di seluruh negara pada 2021.

MEREKODKAN

Daripada jumlah itu, bidang sains, matematik dan komputer merekodkan 23,262 pelajar; 37,020 pelajar bagi bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan; dan 8,031 bagi bidang kesihatan dan kebajikan.

Mengulas lanjut, Wan Amsyar Hadie bagaimanapun berkata, pelajar akan lebih memberi tumpuan kepada kursus lain berbanding mereka meneruskan kursus kritikal itu walaupun tidak mampu.

Katanya, ini kerana sudah tentu setiap keputusan yang diambil itu mengambil kira masa depan mereka.

“Jadi pelajar boleh fleksibel dan terima apa dia mahukan sebab mereka belajar bukan semata-mata untuk belajar, tetapi untuk diadaptasikan ke alam pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Strategik dan Pe­ngurusan Risiko Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Nik Hisyamudin Muhd. Nor berkata, isu tersebut keba­nyakan berlaku pada program yang melibatkan kos kewangan yang tinggi.

Menurut beliau, ini kerana pelajar pada peringkat awal akan cuba mendapatkan penajaan, tetapi mereka terpaksa menukar kos sekiranya tidak berjaya mendapatkan penajaan.

“Pertukaran program teknikal kepada tidak teknikal itu memberi kesan, tetapi tidak lagi sampai ke tahap membimbangkan.

“Tetapi apabila berlaku perubahan, ia akan menjejaskan industri yang terlibat sebab permintaan untuk kursus itu tinggi.

“Apatah lagi untuk mendapatkan pelajar ke program teknikal juga agak kurang berbanding pelajar yang lebih melihat bidang teknologi maklumat (IT) sebagai satu kerjaya yang agak menyakinkan ketika ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN