Wanita maut, dua parah dalam kemalangan - Utusan Malaysia

Wanita maut, dua parah dalam kemalangan

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 68, Jalan Yong Peng-Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang wanita maut apabila kereta Nissan Almera dinaikinya berlanggar dengan sebuah Toyota Vios di Kilometer 68, Jalan Yong Peng – Kluang pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pukul 11.44 pagi itu melibatkan tiga orang mangsa. 

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kereta Toyota Vios dipandu Siti Suraya Mohd. Pilos, 40, dari arah Taman Sri Lambak menuju ke Batu 4, Kluang, manakala mangsa, Saleha Che Amat, 59, bersama suaminya, Abdullah Mustafha, 51, dari arah bertentangan. 

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Toyota Vios dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan  menyebabkan berlaku pelanggaran. 

“Akibat pelanggaran itu, Saleha yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dua lagi mangsa,  Siti Suraya mengalami patah paha kiri, tengkuk, manakala Abdullah cedera di kening kiri dan pinggang serta kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK). 

Mayat mangsa turut dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Fauzi Md. Nor berkata, seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS diketuai Pegawai Bomba Kanan II Affendi Mustafa dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.44 pagi. 

Pihaknya mendapati kedua-dua pemandu kenderaan tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum usaha mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya