JOHOR BAHRU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri ini menafikan video yang memaparkan seekor harimau membaham seekor lembu bukan berlaku di Felda Ulu Tebrau, dekat sini.
Pengarahnya, Aminuddin Jamin berkata, video tular menunjukkan kehadiran ‘pak belang’ itu berlaku di Indonesia.
Beliau berkata, perkongsian video seumpama itu tanpa maklumat yang sahih hanya akan mengelirukan orang ramai dan mengundang resah penduduk setempat.
Justeru,, video tersebut perlu dipadamkan kerana tiada kaitan dengan kemunculan harimau di Felda Ulu Tebrau seperti yang heboh diperkatakan sebelum ini selepas penemuan bekas tapak kaki binatang buas itu.
“Perhilitan masih menjalankan siasatan dan kami sedar ada gambar dan video yang tular dalam media sosial mendakwa ia berlaku di Felda Ulu Tebrau.
“Kami masih menyiasat kesahihannya dan sahkan video yang menunjukkan harimau makan lembu berkenaan dipercayai berlaku di Indonesia. Video itu perlu dipadam segera untuk elak kekeliruan orang awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wse Tse berkongsi sebuah video berdurasi 17 saat menunjukkan kejadian di sebuah kebun yang didakwa berlaku di Felda Ulu Tebrau.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan Ahli Parlimen Tebrau itu telah memadam hantaran tersebut.
Sementara itu, Ketua Kampung Felda Ulu Tebrau, Ab. Jalil Sahlan berkata, bukan sahaja video itu, terdapat juga gambar yang ditular pihak tidak bertanggungjawab mengaitkan kejadian itu di Felda Ulu Tebrau.
“Mereka berkongsi maklumat palsu sehingga meningkatkan kegusaran ramai. Apa pun kami masih menunggu laporan dan maklumat daripada Jabatan Perhilitan yang memantau dan memasang perangkap kamera di kawasan berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, penduduk di Felda Ulu Tebrau digemparkan dengan dakwaan kemunculan seekor binatang buas selepas tapak kaki ditemukan di kawasan tersebut.
Kehadiran harimau itu semakin hangat diperkatakan selepas beberapa bangkai haiwan ternakan turut ditemukan dalam kawasan semak di ladang kelapa sawit berhampiran. – UTUSAN