Tiga daerah di Kedah terjejas gangguan bekalan air luar jangka

Tiga daerah di Kedah terjejas gangguan bekalan air luar jangka

SADA sedia lori tangki persediaan hantar bekalan air kepada pengguna
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tiga daerah di negeri ini mengalami gangguan bekalan air bermula pukul 7.25 pagi hari ini ekoran penyusutan air sungai sekali gus menjejaskan lebih suku juta akaun pengguna.

Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) hari ini memaklumkan, penurunan paras air sungai itu berpunca kerosakan pintu baraj Sungai Muda.

“Tiga daerah yang terjejas ialah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian Baling. Kejadian luar jangka ini mengakibatkan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Petani/Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil. 

“Situasi ini menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan anggaran 252,000 akaun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, antara kawasan yang terjejas ialah, Sungai Petani, Bedong, Pantai Merdeka, Kulim, Lunas, Kuala Ketil dan beberapa kawasan utama lain.

“Sehubungan itu, Bilik Gerakan diaktifkan serta-merta. Pengguna boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan menerusi talian 04-7408976 (Ibu Pejabat), 04-4216798 (Wilayah Kedah Tengah) dan 04-4846770 (Wilayah Selatan) selain daripada platform sedia ada iaitu Pusat Informasi SADA (SIC) di talian hotline 1300-88-0017.

“SADA akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempo gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” tambahnya.

Katanya, SADA akan sentiasa bergerak seiring untuk melakukan pemantauan rapi ke atas paras Sungai Muda bersama pihak Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) sebagai badan yang berfungsi dan bertanggungjawab dalam mengawal selia dan membekal sumber air mentah kepada SADA.

“SADA memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengguna akibat gangguan bekalan air tidak berjadual ini dan langkah proaktif sedang giat dijalankan bagi mengatasinya dengan kadar segera.

“Maklumat berkenaan gangguan bekalan air tidak berjadual ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok Syarikat Air Darul Aman dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya