Sungai di Negeri Sembilan perlu proses kajian menyeluruh, elak kejadian banjir kilat - Utusan Malaysia

Sungai di Negeri Sembilan perlu proses kajian menyeluruh, elak kejadian banjir kilat

TARMIZI Anuwar (kanan) dalam sidang akhbar di Pejabat Muda Negeri Sembilan di Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kesemua 492 batang sungai di Negeri Sembilan dilihat perlu melalui proses kajian lapangan bagi melihat keadaan sungai-sungai tersebut secara keseluruhan sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Negeri Sembilan, Tarmizi Anuwar berpandangan, langkah berkenaan merupakan keperluan mendesak selepas seringnya terjadi hakisan tebing sungai dan penduduk sejak kebelakangan ini sering berdepan masalah banjir kilat ekoran sungai yang menjadi cetek.

“Akibat daripada beberapa peristiwa banjir besar dan kilat yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah banyak aduan daripada penduduk yang turut memohon kami membantu mereka menyuarakan kepada pihak berwajib.

“Kami telah adakan lawatan tapak di beberapa tempat berisiko bagi melihat aduan-aduan permasalahan ini dan dilihat bukanlah disebabkan oleh bencana alam tetapi oleh pengurusan pembersihan dan penyelenggaraan sungai yang kurang efektif di Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Muda Negeri Sembilan di sini.

Tambah beliau, hasil lawatan itu, pihaknya juga mengenal pasti beberapa permasalahan utama yang berlaku termasuklah perubahan struktur sungai akibat hakisan tebing sungai serta pemendapan sungai, 

“Berlaku juga ketidakcekapan pengurusan pembersihan sungai dengan meletakkan hasil pasir di tebing sungai yang dibersihkan, aktiviti pengambilan pasir haram dan isu pencemaran sungai oleh pihak swasta,” katanya.

Tarmizi berkata, tidak dapat dinafikan pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan Negeri Sembilan dalam menangani permasalahan tersebut namun di beberapa tempat kami mendapati langkah tersebut perlu ditambah baik.

“Kajian mencadangkan supaya kajian menyeluruh struktur sungai di Negeri Sembilan dapat dilakukan serta pemantauan dijalankan pada projek-projek pembersihan sungai yang sedang dilakukan.

“Dalam pada itu, kami mencadangkan supaya diwujudkan sebuah agensi bagi menguruskan hasil-hasil sumber sungai di negeri ini, ini bukan perkara baharu kerana langkah ini telah diwujudkan di negeri Selangor.

“Penguatkuasaan aktiviti oleh pihak tidak bertanggungjawab juga perlu diperkasakan terutama oleh pihak berkuasa tempatan. Ini isu yang penting, jika ia tidak dilakukan dengan baik ia akan mendatangkan masalah terutama kepada penduduk,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya