STL 2023: Negeri Sembilan Antlers mahu kedudukan tiga terbaik - Utusan Malaysia

STL 2023: Negeri Sembilan Antlers mahu kedudukan tiga terbaik

MOHAMAD Taufek Abd. Ghani (baris belakang, tengah) dan Wan Mohd. Husni (baris belakang, tiga dari kiri) bersama para pemain Negeri Sembilan Antlers pada Majlis Pengenalan Pasukan Negeri Sembilan Antlers dan Penghargaan Penajaan STL 2022/2023 di Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan Antlers mahu kekal berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik apabila kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2023 membuka gelanggangnya 26 Mei ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd. Husni Abdullah berkata, walaupun pasukan itu tidak diperkuatkan dengan kehadiran pemain import berbanding pasukan lain namun sasaran berkenaan masih realistik untuk diletakkan.

“Ia sasaran yang realistik dengan kami menggunakan tenaga-tenaga tempatan, kami yakin para pemain akan berikan sesuatu pencapaian baik sekali gus menyasarkan kedudukan tiga teratas. Kalau tidak dapat nombor dua, kami akan dapat johan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Pasukan Negeri Sembilan Antlers dan Penghargaan Penajaan STL 2022/2023 di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani.

Wan Mohd. Husni dalam pada itu menambah, beliau tidak gusar dengan kekuatan pasukan itu yang pada musim ini diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain baharu termasuk tekong kebangsaan yang beraksi di Sukan SEA Kemboja baru-baru ini iaitu Muhammad Haziq Hairul Nizam.

“Bagi saya, semuanya terletak kepada para pemain, bagaimana mahu menerima serangan daripada pihak lawan dan saya kami mempunyai pertahanan yang baik.

“Permainan sepak takraw sekarang mementingkan juga pertahanan sekiranya pertahanan baik, boleh mematikan bola lawan dengan baik, saya tidak gusar dengan kekuatan yang ada dan yakin kami boleh lakarkan kejayaan,” katanya lagi.

Negeri Sembilan Antlers pada musim lalu mencatatkan kedudukan ketiga Liga Premier Emas Anuar STL dan saingan Liga Juara-juara STL.

Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan Antlers, Shahibol Mazlan berkata, para pemain telah mula menjalani latihan akhir sejak dua hari lalu dan keserasian di antara pemain semakin baik bagi menghadapi saingan STL 2023 yang akan berlangsung sehingga 5 Ogos nanti.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya