KUALA LUMPUR: Penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mengakui bimbang dengan penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa terutama pada era media sosial masa kini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Siti Nurhaliza berkata, keadaan itu dibimbangi bukan sahaja boleh berlaku terhadap dirinya, tetapi juga kepada mana-mana individu lain.
“Mengenai apa yang berlaku, saya memang tidak mahu memanjangkan lagi perkara tersebut. Cuma, apa yang boleh dikatakan, saya harap hal ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.
“Ini kerana hal sudah sering terjadi. Bukan sahaja terhadap saya sebagai individu, tetapi juga banyak pihak lain.
“Justeru, apa yang saya benar-benar harapkan agar masyarakat dan pengguna media sosial untuk mempunyai kesedaran agar tidak mudah terpedaya dengan penyebaran berita palsu,”katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, Siti Nurhaliza berkongsi luahan dalam InstaStory terhadap berita palsu yang membabitkan persembahan pentasnya di utara tanah air dengan majlis berunsur politik.
Kenyataan palsu tersebut kemudiannnya digunakan oleh sebuah portal hiburan sebagai bahan berita bertajuk ‘Siti Nurhaliza tak sangka rumah terbuka jadi majlis politik’ sehingga menjadi perhatian ramai.
Penyanyi itu dalam perkongsian di InstaStory memberi teguran kepada pihak berkaitan supaya berhenti menyebarkan perkara tidak sahih selain jangan membesarkan hal tersebut.
Perkara tersebut turut mendapat perhatian daripada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang meminta agar portal hiburan terbabit lebih beretika dan berhenti menyebarkan sebarang kandungan bahan berita palsu.
Dalam pada itu, Siti juga berterima kasih kepada Fahmi atas keprihatinan menteri tersebut menangani isu berita palsu, buli siber dan sebagainya. – UTUSAN










