PUTRAJAYA: Kerajaan diminta mempertimbangkan langkah menyerap kira-kira 30,000 kakitangan kontrak yang sudah berkhidmat lebih 10 hingga 15 tahun secara ‘one off’ ke dalam sektor awam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, hal ini kerana pihaknya menerima aduan daripada kakitangan berkenaan dan isu tersebut sudah pun dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Beliau berkata, satu dasar berhubung kakitangan kontrak sudah diluluskan kerajaan bagi membolehkan mereka diberi jawatan tetap apabila sudah berkhidmat 15 tahun ke atas.
“Namun, agak malang apabila sebahagian daripada mereka yang sudah berkhidmat melangkaui 10 tahun secara tiba- tiba tidak disambung dan ditamatkan perkhidmatan.
“Kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan ini sebenarnya mampu untuk berkhidmat lima tahun lagi untuk diserapkan ke jawatan tetap,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2023 di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Kementerian Sumber Manusia.
Seramai 800 peserta hadir pada majlis itu bertemakan Pekerja Berintegriti Tunjang Negara Madani. –UTUSAN