KEMAMAN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Said akan hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 8 Mei ini untuk perbicaraan bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Kemaman.
Menurutnya, beliau bersyukur rayuan petisyen yang difailkan bagi mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk perbicaraan penuh.
Ahmad yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal berkata, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak petisyen yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) untuk mencabar keputusan kerusi itu.
DALAM PROSES
Bagaimanapun, katanya, dua lagi petisyen yang melibatkan Parlimen Marang dan Kuala Terengganu diterima dan sedang dalam proses perbicaraan.
“Alhamdulillah, Mahkamah Persekutuan menerima rayuan kita dan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk perbicaraan.
“InsyaAllah, saya juga akan hadir (Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu) pada 8 Mei ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, Mahkamah Persekutuan mengarahkan dua petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Masjid Tanah dan Parlimen Kemaman, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Dalam keputusan itu, mahkamah berpuas hati agar merit petisyen pilihan raya itu didengar kerana terdapat isu yang perlu diteliti dan diputuskan melalui perbicaraan penuh.
Petisyen itu difailkan calon Barisan Nasional Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid dan pengundi Parlimen Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.
Bagaimanapun, petisyen itu dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan raya Melaka dan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 7 dan 12 Februari lalu selepas mahkamah menerima bantahan awal responden dalam kedua-dua kes itu.
Ahmad Said tewas kepada Che Alias Hamid dalam pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman pada PRU15 November tahun lalu dengan majoriti 27,179 undi.
Che Alias yang juga penyandang kerusi Parlimen itu memperoleh 65,714 undi manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.
Dua lagi pencabarnya, iaitu Hasuni Sudin (PH) memperoleh 8,340 undi, manakala Rosli Ab Ghani dari Pejuang (506 undi). – UTUSAN









